Mohd Shuhaily Mohd Zain

GEORGE TOWN – Lelaki Myanmar yang terlibat dalam kes ragut membabitkan wanita warga asing di sekitar daerah Timur Laut berjaya diberkas dalam satu serbuan di Taman Belibis, Simpang Ampat pada Sabtu lalu.

Suspek berusia 29 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang kira-kira jam 11 pagi.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, suspek terlibat dalam dua kes ragut iaitu membabitkan wanita Indonesia pada 19 Disember lalu manakala kejadian melibatkan penuntut warga Australia pula pada 31 Disember lalu.

Kata beliau, berdasarkan laporan, telefon mangsa berusia 46 tahun itu diragut ketika dia berada di sebuah perhentian bas di Jalan Burmah di sini.

“Bagi kes kedua pula, mangsa berusia 34 tahun itu mengalami kerugian wang tunai RM500 serta telefon bimbit selepas disamun suspek ketika berada di hadapan sebuah kedai di Lebuh Acheh.

“Tangkapan itu turut membawa kepada penemuan barang kes. Turut dirampas dalam serbuan itu sebuah motosikal jenis SYM, sebilah pisau, empat telefon bimbit pelbagai jenama, sehelai baju serta topi keledar,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini, hari ini.

Tambah Mohd Shuhaily, suspek direman selama enam hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan iaitu melakukan jenayah ragut.

Kes turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan gagal mengemukakan pengenalan diri yang sah, ujar beliau. – MalaysiaGazette