Sukarelawan membantu membersihkan sampah dan sisa banjir di kawasan sekitar perumahan pada Program Mega Pembersihan Pasca Banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 08 JANUARI 2022.

FENOMENA kesukarelawanan belia dan rakyat Malaysia dilihat sangat memuncak apabila berlakunya banjir besar yang merundung sebahagian Semenanjung Malaysia termasuk yang tidak terjangka berlaku di Selangor. Gelombang misi bantuan pasca banjir tidak terkecuali digerakkan oleh sebahagian besar badan gabungan Majlis Belia Malaysia (MBM), Relawan MBM dan Relawan untuk Malaysia (RuM).

Selepas Bah Kuning besar 2014, banjir kali ini juga meninggalkan banyak pengajaran berharga di sebalik ujian berat terhadap mangsa banjir dan kritikan masyarakat awam terhadap ketidakcekapan pengurusan risiko banjir Kerajaan.

Banyak pengajaran besar namun yang mahu dikongsi adalah kuasa pertubuhan masyarakat madani (CSO) aka NGO, kuasa individu aka NGI (seperti Abang Viva) dan kuasa masyarakat dalam membantu mangsa banjir sewaktu dan pasca banjir. NGO  menurut Futurologist Alvin Toffler mempunyai ‘speed’ yang tidak ada pada jentera Kerajaan. Namun keduanya saling memerlukan kerana NGO, NGI dan masyarakat awam mempunyai keterbatasan. Masing-masing ada kelebihan dan kekurangan yang memerlukan sinergi.

Kritikan masyarakat awam terhadap pengurusan risiko bencana negara juga perlu terus diambil serius oleh pihak Kerajaan semenjak pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2021 dan pelaksanaan ‘Community-Based Disaster Risk Management-Pandemic‘ (CBDRM-P). Selain itu, punca-punca banjir seperti pembalakan dan pembuangan sampah merata-rata dan pemuliharaan sungai juga perlu diberi perhatian dan ditangani secara serius demi masa depan generasi masa hadapan.

Tawaran dan hasrat Kerajaan Jepun melalui kenyataan media Duta Besar Jepun ke Malaysia H.E. Mr. Takahashi Katsuhiko baru-baru ini wajar disambut baik untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman di bidang pengurusan risiko bencana dalam usaha mengurangkan kesan bencana yang lebih teruk kepada rakyat Malaysia secara khususnya dan kepada masyarakat global secara amnya.

MBM sangat mengalu-alukan hasrat murni memandangkan MBM juga mendapat manfaat yang amat besar daripada pengalaman dan kepakaran Jepun menguruskan bencana. MBM melalui Komuniti Sukarelawan Belia 1Malaysia (MyVOC) telahpun mengadakan MyVOC Disaster Management Program pada 27 hingga 31 Oktober 2017 di Tokyo, Jepun di mana MBM mempelajari daripada beberapa organisasi pengurusan bencana Jepun terpilih tentang langkah kesiapsiagaan menghadapi bencana dan teknik menangani mangsa-mangsa bencana serta kaedah pengurusan bencana menggunakan ‘apa yang ada’. Justeru tawaran Kerajaan Jepun bukan sahaja baik untuk pihak Kerajaan namun perlu turut melibatkan NGO dan NGI

Untuk itu, iklim dan era kesukarelawanan di Malaysia sudah sampai masanya untuk memasuki tahap profesionalisme. Niat untuk bersukarela semata-mata tidak mencukupi jika para sukarelawan tidak diperlengkapkan dengan ilmu dan kemahiran mengurus bencana. Mengambil contoh bagaimana seorang makcik mangsa banjir baru-baru ini mengeluh apabila barangan rumah beliau yang masih boleh digunakan dibuang begitu sahaja oleh sukarelawan tanpa bertanya kepada tuan rumah. Niat yang baik untuk membantu akhirnya bertukar menjadi tindakan yang menyusahkan bahkan mendatang tekanan tambahan kepada mangsa bencana.

Banyak lagi contoh dan kesan negatif apabila niat baik tidak disertai dengan ilmu dan kemahiran kesukarelawanan serta koordinasi yang baik terutamanya antara pihak Kerajaan dan NGO. Konflik juga terlihat timbul apabila pihak kerajaan cuba melakukan koordinasi bertujuan mewujudkan penyelarasan yang baik bagi membantu mangsa banjir. Memang terdapat banyak kebaikan namun tidak dinafikan terdapat juga kelemahan di mana masih terdapat mangsa-mangsa banjir lambat menerima bantuan. Ini merupakan beberapa elemen yang boleh diperbaiki daripada masa ke semasa dan bukan dipolemikkan oleh sesetengah pemikiran politik sempit. Apa yang penting adalah agenda besar membantu mangsa banjir dan mewujudkan pengurusan risiko bencana yang cekap.

Memandangkan budaya kesukarelawan dalam kalangan belia dan rakyat Malaysia meningkat dengan pelbagai indikator seperti kempen bendera putih sewaktu pandemik Covid-19 dan mobilasi bantuan mangsa banjir maka kesukarelawan perlu terus melangkah gah dalam dunia profesionalisme bagi melahirkan sukarelawan terlatih, pemimpin sukarelawan dan NGO-NGO profesional yang pelbagai dalam menangani isu-isu yang spesifik.

Sektor ketiga iaitu kesukarelawanan ini perlu diperkasakan dan dijadikan sektor terpenting negara sehingga boleh mencapai tahap menyumbang kepada KDNK negara. MBM juga mencadangkan penubuhan Majlis Sukarelawan Malaysia (MSM) yang berpaksikan NGO dan rakyat bagi membantu Kerajaan menyelaras dan mengkoordinasi seluruh pertubuhan berasaskan kesukarelawanan di Malaysia sebelum cadangan yang lebih besar seperti penubuhan Suruhanjaya Kebajikan dan Kesukarelawanan bagi meregulasi NGO dan aktiviti kesukarelawanan secara serius, profesional dan smart di Malaysia.

Cadangan ini juga merupakan cadangan yang praktikal kepada pihak Kementerian Belia dan Sukan bagi menangani kelompongan mantan aktivis belia yang berada di kelompok umur 30 sehingga 40 tahun. Idea besar ini selaras Malaysia bergerak ke arah sebuah negara maju menjelang 2030 dan dalam keadaan cabaran masa depan yang sangat mencabar. Idea MSM masih hijau dan memerlukan kepada percambahan idea yang lebih komprehensif yang mungkin juga mampu melahirkan akademi kesukarelawanan nasional yang digerakkan oleh Ngo dan disokong oleh pihak Kerajaan.

MBM, Pusat Jaringan Komuniti (COMNET) UNISEL, RuM dan rakan Ngo strategik telah mengorak langkah awal sewaktu Hari Sukarelawan 2021 membincangkan idea besar ini dalam Konvensyen Relawan untuk Malaysia 2021, Berikut dikongsikan Resolusi Konvensyen Relawan untuk Malaysia 2021 :

Resolusi Konvensyen Relawan untuk Malaysia 2021

1. Mewujudkan Akta Kesukarelawan bagi memastikan bidang Sukarelawan dapat diangkat sebagai menjadi komoditi baharu negara dan juga pendekatan kuasa lunak (soft power) kepada negara;

2. Memprofesionalkan pekerja sukarelawan melalui pensijilan khas daripada badan professional bagi memastikan kebajikan mereka dan profesionalisme seiring berada pada tahap yang kompeten;

3. Penubuhan Suruhanjaya Kesukarelawan bagi memastikan dipayungi oleh Jabatan Perdana Menteri sebagai pengiktirafan kepada sukarelawan yang terlibat membangunkan sumber daya negara;

4. Mewujud dan memperkasa latihan kesukarelawan berasaskan modul RnD di institusi pendidikan rendah, menengah dan tinggi untuk dapat membekalkan lebih ramai pemain-pemain baru yang dapat membangunkan “Industri Kesukarelawan Malaysia”;

5. Sektor Pendidikan Kemahiran (TVET) perlu diperkasakan bagi pembangunan modal insan yang berguna kepada bangsa, agama dan negara;

6. Peruntukan bajet khas untuk pembangunan lestari bagi bidang kesukarelawan bagi mengekalkan momentum pergerakan kesukarelawanan

7. Mewujudkan Anugerah Kesukarelawan di peringkat daerah hingga ke peringkat kebangsaan; dan

8.Fokus kepada pertanian untuk menjaga keseimbangan ekologi bagi menangani “Climate Change”, kesihatan mental supaya menjaga ekosistem pembangunan akhlak dan modal insan, pendidikan teknologi hijau (Green Technology) bagi memperkasakan SDG.

Selamat Hari Kesukarelawanan Dunia.

Oleh: Jufitri Joha
Presiden Majlis Belia Malaysia