Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menetapkan 23 Januari ini untuk mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan kali kedua parti itu.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menetapkan 23 Januari ini untuk mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan kali kedua parti itu.

Menurut Setiausaha Agungnya, Borhan Ahmad Zakaria, Persidangan Tahunan Sayap-Sayap Putra iaitu Wiranita, Wira dan Wirawati kebangsaan akan berlangsung pada 21 dan 22 Januari di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Bharu, Kuala Lumpur.

Katanya, tarikh asal persidangan itu ialah pada 24, 25 dan 26 December lalu, tetapi mengambil kira kesukaran dihadapi semua pertubuhan parti politik termasuk Putra akibat pandemik Covid-19 dan bencana banjir besar, maka ditunda pada 21, 22 dan 23 Januari ini.

“Berdasarkan pertimbangan, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) membenarkan penangguhan Perhimpunan Agung Tahunan Putra sehingga 31 Januari 2022.

“Perhimpunan Agung Tahunan ini akan berlangsung di Kompleks MITEC, Jalan Dutamas 2, Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Borhan Ahmad Zakaria

Kata beliau, mesyuarat peringkat bahagian yang dianggarkan 1,000 orang daripada 95 bahagian telah selesai diadakan mengikut perlembagaan parti dengan pemilihan jawatankuasa bagi sesi 2021-2024 masing-masing.

Kata Borhan, perwakilan bahagian yang bersidang telah memilih Ketua Bahagian, Timbalan Ketua Bahagian, Naib Ketua Bahagian I, Naib Ketua Bahagian II dan 10 Ahli Jawatankuasa termasuk Ketua-ketua sayap, Setiausaha, Ketua Penerangan, Bendahari dan lima Ahli Jawatankuasa lantikan.

“Seramai 10 perwakilan dari kalangan Ahli Jawatankuasa Bahagian di kalangan pemegang jawatan penting secara automatik layak hadir sebagai perwakilan.

“Jumlah Ahli Dewan Tertinggi (ADT) pula seramai 34 orang, diikuti 15 Perwakilan Exco setiap sayap layak hadir ke Persidangan Tahunan Putra kali kedua ini,” katanya.

Beliau berkata, tema perhimpunan adalah ‘Perjuangan Bersih dan Bermoral’ yang menjadi teras kelangsungan kelahiran serta falsafah perjuangan Putra, yang mana pemimpin bersih dan bermoral pasti menjamin rakyat sejahtera dan negara menjadi berkat. – MalaysiaGazette