Oh Tong Keong.

GEORGE TOWN – Parti Gerakan Malaysia meminta satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyiasat isu dakwaan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Timbalan Presidennya, Oh Tong Keong berkata, jawatankuasa khas itu perlu diketuai dua orang pengerusi yang masing-masing daripada kerajaan dan pembangkang.

“Selain itu, pihak polis, pihak atasan SPRM, dua ahli Parlimen masing-masing daripada kerajaan dan pembangkang serta organisasi bukan kerajaan juga perlu ada dalam jawatankuasa tersebut bagi melaporkan perkembangan penyiasatan kepada Parlimen.

“Negara kita memerlukan satu mekanisme yang komprehensif untuk membolehkan pihak penguatkuasa menjalankan fungsi dan peranan yang berbeza serta melaksanakan semak dan imbang (check and balance) antara satu sama lain sekali gus memastikan tidak wujud isu rasuah dalam badan penguatkuasaan dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Tong Keong, pihak turut berharap kemelut yang melanda orang utama SPRM itu diselesaikan secepat mungkin bagi membuktikan kepada rakyat bahawa badan kehakiman dan penguatkuasaan bertindak secara bebas.

“Kita semua sedia maklum, SPRM akan menjalankan siasatan sekiranya orang awam atau pegawai didakwa menerima rasuah tetapi bila pegawai SPRM yang terpalit siapa yang akan bertindak? Jadi kita mahu jawatankuasa khas ditubuhkan,” tegas Tong Keong. – MalaysiaGazette