Sebuah trak polis dipercayai membawa enam suspek ke mahkamah untuk didakwa susulan membelasah seorang pemandu e-hailing sehingga maut di sebuah pusat hiburan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 12 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Enam pemuda termasuk dua beradik dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan membunuh seorang pemandu e-hailing dalam kejadian di tempat letak kenderaan sebuah pusat hiburan di Kepong pada 28 Disember lalu.

Teng Cheng Heng, 22; Chew Jun Seng, 22; Yohannes Isaac Anak Luwang, 21; Ng Zhang Jing, 24; Ng Zhang Le, 20 dan Won Kok Wei, 20, mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Wong Chai Sia.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada keenam-enam tertuduh.

Mengikut pertuduhan, keenam-enam tertuduh didakwa membunuh Mohd Farid Abdullah Rahman, 29, di tempat letak kenderaan bahagian belakang, Viking Club, Jalan Bubut, Kepong Baru, Sentul, di sini pada pukul 1.35 pagi, 28 Disember lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama dan jika disabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman mati.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 11 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan laporan kimia dan forensik.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuwan Abd Latip.

Media pada 7 Januari melaporkan, seorang pemandu e-hailing yang dibelasah sekumpulan enam lelaki pada 28 Disember lalu meninggal dunia  di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 30 Disember.

Lelaki berusia 28 tahun itu dikatakan dibelasah sekitar pukul 1.35 pagi pada 28 Disember di tempat letak kenderaan di sebuah pusat hiburan di Kepong.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang wanita berusia 40 tahun yang juga teman wanita mangsa.

Menurut beliau, ketika kejadian, wanita terbabit bersama mangsa berada di parkir belakang pusat hiburan itu dan didatangi sekumpulan lelaki yang menarik mangsa keluar dari kereta dan terus memukulnya sehingga menyebabkan pendarahan di kepala. – MalaysiaGazette