ADUN Pelabuhan Klang, Azmizam Zamanhuri menyerahkan sumbangan kepada mangsa banjir ketika mengahdiri Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan (BWI), Bantuan Selangor Bangkit di Dewan Orang Ramai Kampung Telok Nipah Klang, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 12 JANUARI 2022.

PULAU INDAH – Kira-kira RM3 juta peruntukan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) dan Bantuan Wang Ihsan (BWI) disalurkan kepada 1,500 ketua isi rumah yang terjejas banjir.

Penyaluran bantuan itu melibatkan empat kampung tradisi  termasuk Kampung Sungai Pinang, Kampung Teluk Nipah, Kampung Perigi Nenas dan Kampung Sungai Kembong.

Bantuan itu diserahkan sendiri oleh Ahli Dewan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri di Dewan Orang Ramai Kampung Teluk Nipah di sini hari ini.

Tinjauan MalaysiaGazette pada majlis penyerahan itu mendapati setiap ketua isi rumah menerima bantuan sebanyak RM2,000 yang disediakan oleh kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan melalui Pejabat Daerah Klang.

Mangsa banjir yang hadir untuk menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI), Bantuan Selangor Bangkit di Dewan Telok Nipah Klang, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 12 JANUARI 2022.

Salah seorang penerima bantuan, Rahimah Mat Din, 60,  dari Kampung Sungai Pinang berkongsi kegembiraannya setelah menerima bantuan yang disifatkannya amat melegakan setelah kerugian ribuan ringgit akibat banjir baru-baru ini.

“Ada juga barang yang rosak nak diperbetulkan, kabinet rumah semua hancur, Insya-Allah kalau ada lebihan daripada bantuan ini saya nak simpan menabung sikit.

“Empat hingga ke lima perabot juga yang rosak dan tak boleh dipakai, kena buang. Baju-baju pun habis kena banjir, mungkin dengan bantuan ini boleh menggantikan perabot yang rosak,” katanya ketika ditemui di Dewan Orang Ramai Kg Teluk Nipah, di sini hari ini.

Sejak enam tahun mendiami Kampung Sungai Pinang, baru kali pertama dia bersama keluarga berdepan banjir besar sehingga menenggelamkan rumahnya hampir dua meter.

“Duduk di sini hampi enam tahun, pernah sekali banjir tapi air masuk rumah sikit paras buku lali saja, kali ini (banjir) naik sampai paras pinggang, tak sempat selamatkan apa-apa sebab air naik tengah malam,” katanya.

Salah seorang mangsa banjir yang hadir untuk menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI), Bantuan Selangor Bangkit di Dewan Telok Nipah Klang, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 12 JANUARI 2022.

Sementara itu, bagi seorang lagi ketua isi rumah, Zahari@Zakaria Mahmud, 74, dari Kampung Teluk Nipah  tidak menyangka bencana banjir yang melanda kediamannya mendapat perhatian kerajaan.

“Alhamdulillah, pak cik tak sangka dapat bantuan daripada kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan, terima kasih banyak.

“Cadang nak beli almari fasal baju-baju semua habis, almari pula jenis habuk kayu, terendam sikit habis kembang semua, tikar getah dan karpet habis,” katanya.

Zahari yang hanya tinggal berdua dengan isterinya sempat berkongsi saat cemas ketika kediamannya dinaiki air namun sempat diselamatkan anak-anaknya.

Mangsa banjir yanghadir untuk menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI), Bantuan Selangor Bangkit di Dewan Telok Nipah Klang, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 12 JANUARI 2022.

“Masa air naik tu pak cik dalam rumah, lagi beberapa inci air nak cecah katil, pak cik terus keluar rumah tunggu anak datang ambil dan duduk di Salak Tinggi, Sepang.

“Masa air naik tu pak cik berdua sahaja tinggal, anak-anak semua sudah berkahwin, malam itu pergi duduk rumah anak yang tua, dua hari selepas itu baru balik semula rumah, masa itu air banjir sudah kurang.

“Cuma banjir kali ini tiada lumpur sahaja, air yang masuk rumah pun bersih,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast