Orang ramai membeli belah susulan jualan murah yang diadakan di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur.

SINGAPURA – Perbelanjaan pengguna di Malaysia akan mencatatkan pertumbuhan yang baik pada 2022, dengan perbelanjaan isi rumah sebenar diunjurkan meningkat sebanyak 5.1 peratus tahun ke tahun, menurut firma penyelidikan yang berpangkalan di United Kingdom.

“Ini merupakan peningkatan yang ketara daripada pertumbuhan sebanyak 0.5 peratus yang dianggarkan pada 2021 berikutan impak daripada Covid-19 yang terus mempengaruhi permintaan domestik,” menurut Kaji Selidik Risiko Negara dan Industri Fitch Solutions dalam kenyataan hari ini.

Menurut firma penyelidikan itu, pemulihan dalam perbelanjaan pengguna pada 2022 akan dicatatkan berikutan ekonomi yang lebih luas pulih, dengan pertumbuhan terutamanya didorong oleh penggunaan swasta dan pelaburan tetap.

“Sebanyak RM768.1 bilion pada 2022, perbelanjaan isi rumah sebenar akan meningkat 1.8 peratus daripada RM754.6 bilion dicatatkan pada 2019, sebelum Covid-19,” katanya.

Fitch Solutions berkata unjuran perbelanjaan penggunanya sejajar dengan pandangan pasukan Risiko Negaranya bahawa ekonomi yang lebih luas dijangka berkembang sebanyak 5.5 peratus pada 2022.

Katanya, kadar pengangguran negara akan mula berkurangan pada 2022, merosot kepada purata 3.9 peratus daripada tenaga buruh daripada 4.7 peratus pada 2021. – MalaysiaGazette