Rashidi Haris

KUALA LUMPUR – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) menggesa pihak berkuasa menyegerakan siasatan berhubung seorang hakim yang didakwa melakukan gangguan seksual ke atas seorang balu.

Ketua Medianya, Rashidi Haris berkata, siasatan itu perlu bagi membersihkan nama pegawai tinggi kerajaan itu jika dakwaan berkenaan tidak benar.

Sekiranya kes dibuktikan benar, pihak berwajib perlu mengambil tindakan sewajarnya.

Kata beliau, kes seumpama itu memberi impak besar kepada negara, lebih-lebih lagi melibatkan institusi kehakiman.

“Bagaimana akan dikatakan adil, sekiranya yang hendak menjatuhkan hukuman itu berakhlak buruk dan melakukan perkara keji. Walau apa alasan sekalipun, perkara ini wajib dipandang serius. Lebih membimbangkan apabila pelakunya adalah seorang yang menjadi kepercayaan orang ramai.

“Negara sekarang sudah tenat dengan perilaku politikus yang dipandang kaki penipu dan pendusta oleh rakyat, skandal rasuah yang dikaitkan dengan SPRM dan doktor yang mengkhianati kerjayanya dengan sijil vaksin palsu.

“Kini muncul pula cerita hakim syarie bernafsu buas. Jangan pula nanti mahkamah syariah juga hilang kemuliaannya hanya kerana seorang hakim yang tergilakan bini orang,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak mengesahkan siasatan berhubung kes seorang suri rumah yang mendakwa diganggu secara seksual oleh seorang hakim kanan masih diteruskan.

Beliau berkata, pihak Timbalan Pendakwa Raya mengembalikan semula kertas siasatan kes tersebut kerana memerlukan maklumat tambahan.

“Ya, siasatan berhubung kes tersebut masih dijalankan oleh pihak polis,” kata Mohamad Farouk.

Menurut Rashidi, walaupun kes itu belum sahih kerana masih dalam siasatan, pihaknya kesal kerana laporan polis oleh pengadu telah tular ke seluruh negara.

Kata beliau, mengikut laporan itu, kejadian berlaku sekitar Ogos 2020 ketika pengadu berusia 57 tahun masih lagi merupakan seorang isteri kepada kenalan tertuduh yang terlantar sakit, yang setahun kemudian pada Oktober 2021 suami mangsa meninggal dunia.

“Kini pengadu yang berstatuskan ibu tunggal itu mulai berasa bimbang akan keselamatan dirinya kerana lampiran laporan yang tular itu tersiar namanya.

“Dalam laporan itu, mangsa yang juga pengadu menamakan hakim berkenaan beserta cerita ringkas mengenai peristiwa mengaibkan yang dilakukan oleh hakim tersebut apabila mangsa membenarkan tertuduh masuk setelah meminta izin untuk solat.

“Pendedahan ini amat memalukan dan jika benar hakim itu melakukannya, dia hendaklah segera meletakkan jawatan dan jika tidak seperti yang dilaporkan, dia harus membenarkan dirinya disiasat bagi membersihkan namanya dan institusi di mana dia bertugas,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast