Serbegeth Singh

JOHOR BAHRU – Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Serbegeth Singh meninggal dunia kerana serangan jantung ketika berbasikal di Sunway, Iskandar Puteri di sini kira-kira pukul 7.30 malam tadi.

Beliau yang mesra disapa Shebby Singh berusia 61 tahun yang juga penganalisis sukan itu dikatakan sesak nafas ketika kejadian.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar mengesahkan kematian Serbegeth.

Mendiang dikenali sebagai seorang pemain pertahanan sepanjang kerjaya bersama Johor, Kuala Lumpur, Pahang dan Negeri Sembilan sebelum mencipta nama sebagai personaliti televisyen bermula 1997.

Selaku tonggak Kuala Lumpur, Shebby muncul juara liga 1986, 1987, 1988 dan 1989, juara Piala Malaysia pada 1987, 1988 dan 1989, juara Piala FA pada 1993 dan 1994 serta membantu skuad negara mengutip pingat emas Sukan SEA pada 1989 dan gangsa pada Sukan SEA 1985.

Mula menyarung jersi negara dalam kejohanan Piala Presiden Korea Selatan pada 1982, Shebby mengumpul 61 caps sehingga persaraannya selepas beraksi menentang England di Stadium Merdeka pada 1991.

Selain menjadi penasihat global Blackburn Rovers pada 2012 hingga 2013, Serbegeth pernah menjadi penasihat rancangan realiti, MyTeam serta Malacca Telekom FC.

Dilahirkan pada 20 Ogos 1960, Shebby berasal dari Kluang itu dikesan bakatnya oleh Allahyarham Abdul Shatar Khan yang terkenal dengan reputasi sebagai jurulatih remaja.

Mendiang Shebby meninggalkan isteri Harbans Kaur yang juga bekas pelari negara serta dua anak, Natassha Kaur dan Sonuljit Singh.- MalaysiaGazette