Seorang lagi individu iaitu suami kepada penerbit rancangan penyiaran ditahan reman membantu siasatan butir matan palsu di mahkamah KL pagi tadi.- Gambar Ihsan foto: SPRM.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan reman seorang lagi individu bagi membantu siasatan kes seorang penerbit rancangan penyiaran yang didakwa mengemukakan tuntutan butir matan palsu bernilai RM300,000.

Suspek kedua berkenaan merupakan suami kepada penerbit wanita yang masih dalam reman agensi anti rasuah itu.

Sumber memberitahu,suspek berbaju lokap warna jingga dan berseluar panjang biru dihadapkan ke mahkamah dengan keadaan tangan bergari sekitar pukul 9 pagi tadi.

Permohonan reman sehingga 15 Januari depan itu dibenarkan oleh Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan berkenaan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini, katanya.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia 41 tahun tersebut ditahan kira-kira pukul 5 petang semalam di Pejabat SPRM Kuala Lumpur ketika hadir memberi keterangan.

Difahamkan, suspek telah terlibat dan bersubahat dengan isterinya yang merupakan penerbit rancangan di sebuah agensi penyiaran dengan mengemukakan tuntutan yang mengandungi butir matan palsu bagi tiga rancangan dokumentari berjumlah lebih RM300,000 pada tahun 2017 dan 2018 sedangkan rancangan tersebut tidak dilaksanakan.

Pada pagi Selasa lalu, penerbit rancangan terbabit telah ditahan reman selama empat hari bermula semalam sehingga 14 Januari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Razaliah Ab. Rahman mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tuntutan palsu: Penerbit agensi penyiaran direman sehingga Jumaat