Logo ulang tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur bagi tahun 2022.

KUALA LUMPUR -Jumlah perdagangan antara Malaysia dan Jepun telah meningkat melebihi 290 peratus dalam tempoh 40 tahun dengan nilai sebanyak RM124.14 bilion (AS$29.60 bilion) telah direkodkan pada tahun 2020, sekalig us menjadikan Jepun sebagai negara rakan dagang yang keempat terbesar bagi Malaysia.

Tahun 2022 merupakan Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur yang telah
diperkenalkan oleh Malaysia pada tahun 1982.

Manakala bagi tempoh Januari hingga November 2021, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Jepun telah meningkat sebanyak 20.8 peratus kepada RM135.01 bilion (AS$32.63 bilion), berbanding tempoh yang sama pada tahun 2020.

Selain itu, Jepun juga merupakan sumber pelaburan langsung asing terbesar di Malaysia bagi projek-projek yang telah dilaksanakan (implemented projects). Sehingga Jun 2021, sejumlah 2,768 projek pembuatan telah berjaya dilaksanakan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM91.5 bilion (AS$21.9 bilion).

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, dari aspek pembangunan modal insan, kolaborasi strategik antara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan institusi-institusi berkaitan di Jepun telah memberi manfaat kepada 17,062 rakyat Malaysia, termasuklah 6,715 orang pelajar Malaysia yang telah menerima biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di Jepun dalam bidangbidang keutamaan seperti kejuruteraan, sains dan teknologi.

Selain itu, kolaborasi ini juga telah memberi peluang kepada sejumlah 10,347 pegawai kerajaan untuk menyertai pelbagai program latihan seperti pengurusan dan kemahiran teknikal.

Sempena sambutan itu, MITI berkata, logo rekaan Koo Kon Hen dari Kuala Lumpur dipilih sebagai logo rasmi bagi sambutan ulang tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur pada tahun ini.

Pemilihan sebulat suara itu dibuat oleh Jawatankuasa Penilaian yang dianggotai oleh wakil-wakil daripada MITI, Kementerian Luar Negeri (KLN), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kedutaan Besar Jepun di Malaysia.

Pertandingan ini telah berlangsung dari 26 Oktober hingga 20 November 2021 yang telah berjaya menarik sejumlah 171 penyertaan daripada Malaysia dan Jepun.

Ia dianjurkan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kejayaan pelaksanaan Dasar Pandang ke Timur serta sumbangannya dalam pembangunan sosio-ekonomi negara ini.

Logo ini menggambarkan hubungan erat antara Malaysia dan Jepun melalui garis berjalur menggunakan warna-warna kebangsaan kedua-dua negara.

MITI menambah, sejak diperkenalkan, Dasar Padang ke Timur telah memberi sumbangan yang besar kepada pembangunan sosio-ekonomi negara, terutamanya dari sudut hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala serta pembangunan modal insan.

Bagi memeriahkan lagi sambutan Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur, MITI mengalu-alukan sebarang cadangan program-program yang boleh dilaksanakan
sepanjang tahun 2022. Maklumat lanjut boleh didapati melalui https://www.miti.gov.my/index.php/pages/view/8195 – MalaysiaGazette