PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur menerima empat laporan polis berkaitan kes tipu pembelian kuih bagi perayaan Tahun Baru Cina sejak 9 Januari sehingga semalam.

Ketua JSJK Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, mangsa-mangsa dalam kes tersebut telah diperdaya sindiket penipuan dalam talian sehingga mengakibatkan kerugian berjumlah RM51,400.

Menurut beliau, mangsa telah berurusan menempah makanan berbentuk kuih dengan suspek tidak dikenali menggunakan aplikasi WhatsApp.

“Suspek kemudiannya telah memberikan satu pautan laman sesawang untuk pembayaran wang pendahuluan dan mangsa-mangsa telah mendaftar serta mengisi maklumat perbankan seperti mana diarahkan oleh suspek.

“Kesemua mangsa menyedari diri mereka ditipu apabila terdapat beberapa transaksi pindahan wang dari akaun bank mangsa ke dalam akaun bank suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru katanya, orang ramai dinasihati supaya sentiasa berwaspada dengan setiap iklan bagi mengelak daripada menjadi mangsa sindiket penipuan pembelian dalam talian.

Tambah beliau, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mendedahkan maklumat perbankan dan kad keselamatan OTP/TAC kepada pihak ketiga untuk mengelak akaun bank terdedah kepada penggunaan tidak sah.

“Sebarang jenayah atau pun cidliviti yang
mencurigakan, hubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/0585,
CCID Scam Response Center di talian 03-2610 1559/1599 atau mana-mana balai berhampiran,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – MalaysiaGazette