Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah.

GEORGE TOWN – Seramai 23 individu termasuk tiga remaja bawah umur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mempromosikan perjudian atas talian (online) pada 7 Januari lalu.

Kesemua tertuduh termasuk empat wanita yang berusia lingkungan 16 hingga 32 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibaca dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Rosnee Mohd Radzuan.

Empat wanita antara dituduh promosikan judi online.

Mengikut pertuduhan, 10 tertuduh didakwa mempromosikan permainan perjudian dalam talian dengan menggunakan set komputer pada 7 Januari lalu jam 5.45 petang di sebuah kondominium di Jalan Kelawai di sini.

Manakala 13 lagi tertuduh pula, didakwa melakukan kesalahan sama pada jam 6.45 petang di sebuah kondominium di Persiaran Gurney.

Atas pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM50,000, hukuman penjara tidak lebih tiga tahun dan penjara jumlah denda sama bagi setiap mesin judi yang disita jika sabit kesalahan.

Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Aqilah Khalil menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 pada setiap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam Pang Chin Keat yang mewakili kesemua tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jumlah ikat jamin itu memandangkan ada antara tertuduh yang tidak bekerja selain bawah umur.

Selain itu, peguam turut memberitahu mahkamah bahawa kesemua mental dan fizikal tertuduh terjejas susulan tempoh perintah reman terhadap mereka sepatutnya tamat semalam namun masih direman oleh pihak polis untuk pendakwaan hari ini.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak Rosnee membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin.

Tarikh 7 Mac depan ditetapkan untuk sebutan semula kes.

ARTIKEL BERKAITAN

23 ejen judi online cari pelanggan guna media sosial diberkas

MalaysiaGazette pada Selasa lalu melaporkan polis berjaya membongkar sindiket perjudian dalam talian (online) yang mencari pelanggan menerusi media sosial dengan  tangkapan 23 individu di sini baru-baru ini.

Penahan dibuat dalam dua serbuan di dua kondominium sekitar Persiaran Gurney serta Jalan Kelawai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast