KUALA LUMPUR – Daftar Pemilih Tambahan Bulan Disember Tahun 2021 (DPT BLN12/2021) telah diperaku dan diwartakan pada hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya dalam satu kenyataan berkata, oleh itu DPT BLN12/2021 dibuka untuk semakan selama enam bulan iaitu sehingga 13 Julai tahun ini.
Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, daftar pemilih berkenaan mengandungi 5,718,760 pengundi berumur 18 tahun dan ke atas sehingga 31 Disember 2021 yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.
Dalam masa yang sama, ia turut mengandungi 25,220 pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 9,293 orang yang bertukar status/kategori pengundi.
Katanya, pengundi baharu dan yang telah memohon pertukaran bahagian dan status kini boleh menyemak nama mereka dalam DPT BLN12/2021.
Jelas Ikmalrudin, pengundi boleh membuat tuntutan sekiranya nama mereka tidak disenaraikan dalam DPT BLN12/2021 dengan mengisi borang C secara dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri berdekatan.
“Mana-mana pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya dengan mengisi Borang D dan hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan,’ katanya.
Beliau berkata, SPR menyediakan empat kaedah semakan bagi daftar pemilih ini iaitu menerusi portal rasmi SPR, aplikasi mudah alih, portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my atau hotline SPR di talian 03-8892 7018.-MalaysiaGazette