Penduduk Taman Sri Muda menjamu selera di sekitar kediamannya yang telah dinaiki air selepas kawasan itu mengalami hujan ektrem. Foto MOHD ADZLAN, 21 DISEMBER 2021. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan dan pihak swasta digesa supaya melaksanakan secara berterusan usaha bagi membantu mangsa-mangsa yang terlibat dengan kejadian bencana banjir baru-baru ini.

Presiden Persatuan Arkitek Perunding Malaysia (ACAM), Jafri Merican berkata, pihaknya menyuarakan kekhuatiran terhadap kemusnahan harta benda serta kehilangan nyawa akibat bencana alam itu serta menyelami kepayahan yang ditanggung oleh mangsa-mangsa terlibat.

Katanya, kerajaan telah mengambil banyak langkah positif ke arah itu, namun masih banyak lagi usaha yang perlu ditingkatkan.

“Walaupun secara amnya perubahan iklim dikaitkan dengan kerosakan alam sekitar pada skala global, di peringkat tempatan ianya lebih menjurus kepada akibat isu pembangunan tidak mampan di seluruh negara yang masih belum mendapat penyelesaian menyeluruh.

“Menyedihkan lagi, rekabentuk dan perancangan bandar, bangunan dan infrastruktur dalam banyak kes tidak mengambil kira kesan perubahan iklim.

“Oleh itu, kerajaan dan sektor swasta perlu bekerjasama untuk menambah baik strategi pembangunan ekonomi dan fizikal serta pelaksanaannya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Jafri, rekabentuk perparitan untuk menyalir air hujan tropika secara efektif adalah amat penting dan memerlukan tindakan segera bagi menangani isu hujan yang semakin lebat.

Ujarnya, tanpa tindakan sedemikian, tahap keparahan banjir akan terus meningkat tanpa henti.

Selain itu, penyesuaian infrastruktur seluruh negara untuk menangani perubahan iklim, langkah mitigasi terhadap bencana alam dan keberkesanan tindak-balas kecemasan terhadap keperluan mangsa, semuanya memerlukan penambahbaikan dan pertimbangan semula secara besar-besaran, katanya.

“Set minda masyarakat kita yang berkecimpung di dalam semua jenis aktiviti ekonomi terutamanya yang memberi kesan langsung kepada persekitaran ekologi seperti pembangunan hartanah, industri, pertanian, perhutanan dan pembalakan antara lain memerlukan perubahan segera.

“Perlu ditekankan bahawa kawasan hijau semula jadi, hutan simpanan, tasik, laluan air, tanah wetlands, paya-bakau dan banyak lagi aset semula jadi negara kita memerlukan perlindungan daripada kemusnahan yang tidak terkawal dan lain-lain ancaman melalui gabungan penguatkuasaan yang lebih ketat serta peningkatan kesedaran masyarakat,” tambahnya.

Katanya lagi, ACAM bersedia mengembleng usaha berperanan sebagai penasihat dalam membantu usaha kerajaan ke arah mencapai daya tahan iklim dalam segala pembangunan baik ekonomi mahu pun fizikal.

Pertubuhan profesional ini juga katanya, menyuarakan harapan tinggi agar kerajaan dapat meneruskan libat-urus dengan golongan profesional sektor swasta untuk menambah baik strategi yang boleh meningkatkan tahap daya tahan iklim negara ini disamping mampu menghasilkan pembangunan mampan untuk masa depan bersama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast