KUALA LUMPUR – Axiata Arena, Bukit Jalil di sini akan kembali beroperasi sebagai antara empat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) integrasi dengan kapasiti yang lebih besar bermula esok.
Pembukaan itu adalah bagi meningkatkan kapasiti pemberian vaksin dos penggalak terutamanya di Lembah Klang.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati kerja-kerja pemasangan kanopi telah siap di luar dewan termasuk beberapa kakitangan sedang menyusun kerusi untuk sesi menunggu.
Di bahgian dalam pula, kelihatan bilik-bilik suntikan lengkap dengan langsir sudah tersedia selain meja dan kerusi telah disusun atur.
Selain Axiata Arena, tiga PPV lain adalah World Trade Centre (WTC), Kuala Lumpur; IDCC, Shah Alam dan Dewan Soka Gakkai, Klang.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan hari ini berkata, empat PPV Integrasi berkenaan akan mula dibuka pukul 9 pagi kepada orang ramai untuk pemberian vaksinasi dos penggalak.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, dilaporkan berkata, pihaknya turut menyasar 80 peratus warga emas menerima dos penggalak dalam tempoh sebulan, manakala negeri yang masih terkebelakang dalam aspek itu akan diberi tumpuan.
Katanya, pembukaan PPV Integrasi itu juga untuk mempergiatkan pemberian vaksinasi dos penggalak kepada warga emas yang pada masa kini berada pada paras lebih daripada 50 peratus.
“Jika ada keperluan serupa di bandar-bandar besar lain, ia akan perluaskan,” katanya.
Khairy juga berkata, semua aktiviti pemberian dos penggalak akan dilakukan melalui janji temu yang diberikan melalui aplikasi MySejahtera atau perkhidmatan pesanan ringkas (SMS).
Bagaimanapun kata, individu boleh menghubungi PPV swasta (GP) yang disenaraikan di dalam laman sesawang ProtectHealth untuk mendaftar di dalam senarai menunggu klinik berkenaan. – MalaysiaGazette