Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin menurunkan tandatangan pada kek coklat pada Majlis Pelancaran Iklan Video Komersial dan Promosi Koko di Hotel Pulse Grande, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 14 JANUARI 2022.

PUTRAJAYA – Nilai eksport koko tahun ini dijangka mencecah RM14 bilion, dua kali ganda berbanding tahun lepas.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, beliau optimis koko mempunyai potensi besar untuk terus membantu pendapatan negara.

Bagaimanapun ujar beliau, usaha yang agresif perlu dilaksanakan untuk meningkatkan pengeluaran koko.

“Kita berjaya eksport RM7 bilion pada 2021, kita lihat potensi itu besar untuk Malaysia tingkatkan pengeluaran koko untuk dieksport,” katanya, di sini, hari ini. 

Tambah beliau, negara memerlukan 10 kali ganda daripada tanah sedia ada yang digunakan untuk menanam koko demi meningkatkan pengeluarannya.

Sehingga kini, menurut Zuraida, koko ditanam di atas tanah seluas 5,700 hektar di seluruh negara.

Ujarnya, usaha untuk mempromosikan koko dan menyebarkan kebaikan-kebaikan perlu dilakukan secara proaktif.

“Apa yang penting menyampaikan khasiat koko. Masih ramai tidak tahu koko ini mempunyai pelbagai khasiat. Koko juga boleh dihasilkan untuk produk makanan sehingga bukan makanan,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Iklan Video Komersil dan Promos Koko berasaskan karektor animasi ‘Profesor Koko’ serta slogan promosi terkini iaitu “Enak dan Berkhasiat” dan “Nikmati Koko Setiap Hari”, di sini, hari ini.

Iklan video komersial dan promosi koko ini dilaksanakan dengan konsep animasi bagi menyebarkan maklumat mengenai khasiat, kebaikan dan kegunaan koko seta member kesedaran kepada penonton mengenai amalan shat pengambilan produk makanan.

la juga akan membantu untuk menepis salah tanggapan rakyat Malaysia terhadap coklat dan produk-produk berasaskan koko dan seterusnya meningkatkan penggunaan koko tempatan.

Sebagai rekod, penerbitan iklan video komersial dan promosi koko adalah hasil kerjasama Lembaga Koko Malaysia (LKM) dengan syarikat penerbitan, Monsta Agency and Distribution yang merupakan antara hab animasi terbesar di Asia Tenggara dengan jumlah pengikut di media sosial sebanyak 20 juta.-MalaysiaGazette