Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyampaikan sumbangan bantuan banjir kepada mangsa dari warga Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang terkesan banjir pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 di Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ 14 JANUARI 2022.

PUTRAJAYA – Semua urusan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) terletak di tangan kerajaan negeri Johor, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Katanya, perkara tersebut boleh dibincangkan namun terpulang kepada kerajaan negeri itu dan Sultan Johor untuk mengadakan PRN

“Ini urusan kerajaan negeri Johor, jadi kita serahkan kepada mereka (untuk buat keputusan), kita boleh bincang-bincang sahaja,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat tahun baharu di Kementerian Pembanguan Luar Bandar hari ini.

Sebelum ini, terdapat desas desus PRN Johor akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat selepas kerajaan negeri kini hanya mempunyai majoriti satu kerusi iaitu 28 berbanding pembangkang 27.

Dalam pada itu, Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, segala keputusan untuk mengadakan PRN ataupun tidak harus mendapat perkenan daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

Katanya, sekiranya mendapat perkenan daripada Sultan Ibrahim, maka langkah seterusnya boleh diambil kerajaan negeri itu.

“Kalau negeri Johor kata tak sesuai, tidak akan dibuat (PRN negeri), kalau sesuai dan Sultan Johor berkenan, itu terpulang kepada negeri Johor,” katanya.

Dalam pada itu, Mahdzir menjelaskan, tidak timbul kenyataan bahawa mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada malam Rabu lalu memberi isyarat bahawa Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob akan dijadikan watak utama mewakili UMNO atau ‘poster boy’ parti itu untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Apa yang penting, katanya, UMNO telah memberikan sokongan yang kukuh dan padu kepada Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri untuk memimpin negara.

“Saya ingat kenyataan MKT sangat jelas bahawa MKT memberikan sokongan padu kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.

“Itu sudah merangkumi banyak perkara maknanya parti UMNO itu sendiri telah beri sokongan dan kuat kepada Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri di mana dia sendiri sebagai ahli parti dan parti itu menyokong, itu sangat penting,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan media mengenai kenyataan bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa yang berkata mesyuarat MKT pada Rabu lalu disifatkan memberi isyarat bahawa Ismail Sabri akan dijadikan watak utama mewakili UMNO atau ‘poster boy’ parti itu untuk PRU15 kelak. – MalaysiaGazette