Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dipercayai bertindak terjun dari Jambatan Pulau Pinang sedang giat dilakukan APMM.

GEORGE TOWN – Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai bertindak terjun dari Jambatan Pulau Pinang di Kilometer 3.4 arah Perai di sini, semalam.

Mangsa, Goh Chun Kiang, 48, dikatakan meninggalkan kenderaan serta barang peribadinya di atas jambatan sebelum bertindak terjun.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pihak polis berhubung insiden tersebut pada jam 10.40 malam.

Kenderaan serta barang peribadi mangsa ditinggalkan di atas jambatan.

“Susulan maklumat itu, operasi mencari dan menyelamat dilakukan dengan mengatur gerak bot Kilat 4 ke lokasi bagi melakukan pencarian.

“Sehingga kini, operasi mencari mangsa yang menetap di Butterworth itu sedang giat dijalankan.

“Turut terlibat dalam operasi pencarian itu ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam serta Polis Marin,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Abd Razak, orang awam diminta agar melaporkan sebarang kejadian kecemasan dan kemalangan di laut dengan menghubungi talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang 04 262 6146. – MalaysiaGazette