Tiga individu tempatan yang menjadikan rumah pangsapuri sebagai sarang operasi judi dalam talian dengan kadar keuntungan berjumlah RM100,000 sebulan terkubur selepas diserbu polis semalam.Ihsan IPD Sentul.

KUALA LUMPUR – Baru sebulan beroperasi dan menikmati keuntungan RM100,000, namun impian untuk menambah lagi pendapatan pada jumlah lebih besar tidak kesampaian apabila ketiga-tiga suspek itu berjaya dicekup.

Sindiket judi dalam talian haram yang digerakkan tiga individu tempatan yang menjadikan sebuah rumah pangsapuri persendirian sebagai sarang pusat panggilan judi haram itu turut dikuburkan polis.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pada Khamis sepasukan polis dari Cawangan D7 Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul telah melakukan serbuan ke atas premis tersebut hasil maklumat orang awam.

“Hasil serbuan dan pemeriksaan di dalam rumah pangsapuri itu polis berjaya menahan seramai tiga orang lelaki warga tempatan.

“Kesemua tangkapan tersebut berusia lingkungan antara 19 tahun hingga 54 tahun yang dipercayai merupakan penjaga premis serta ejen “To Up Games” di pusat panggilan judi haram itu,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambah beliau, siasatan awal polis mendapati premis berkenaan dipercayai telah beroperasi sejak sebulan lalu dengn  berselindung di sebalik pangsapuri persendirian yang disewa dengan kadar RM1,800 sebulan.

Katanya, dalam serbuan itu polis berjaya merampas barang kes peralatan komputer dan telefon bimbit pelbagai jenama, modem komputer, serta beberapa rangkai kunci rumah bersama dengan kad akses unit pangsapuri itu daripada tiga suspek itu.

“Kesemua suspek berkenaan kini telah ditahan di IPD Sentul untuk siasatan lanjut memandangkan siasatan kes masih belum selesai.

“Siasatan sedang diteruskan ke atas mereka mengikut Seksyen 4(1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana terbabit dalam aktiviti Judi Online (Calling Centre).

“Pihak Polis Kuala Lumpur menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak
terlibat di dalam aktiviti yang kurang sihat seperti perjudian online ini.

“Tindakan tegas berlandaskan undang-undang yang sedia ada akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana individu-individu yang melanggari undang-undang ini. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di 03-40482206,” tegasnya. – MalaysiaGazette