Seorang bayi berusia lapan bulan menjadi mangsa dera apabila ditampar oleh pengasuh wanitanya yang tidak dapat menahan keadaan bayi yang asyik muntah dalam kejadian di Bandar Seri Permaisuri, Cheras di sini Rabu lalu.Ihsan IPK KL.

KUALA LUMPUR – Seorang pengasuh yang menampar bayi di bawah jagaannya kerana asyik muntah ditahan polis di rumahnya di Bandar Seri Permaisuri, Cheras.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Asisten Komisioner Kamarulzaman Elias berkata, pihak polis telah menerima satu laporan polis daripada seorang wanita pada jam 11,29 malam Rabu lalu yang mendakwa anak bongsunya yang berusia 8 bulan telah ditampar oleh pengasuhnya.

“Dalam laporan tersebut wanita yang merupakan ibu kepada mangsa mendakwa dalam kejadian pada jam lebih kurang 8.20 malam hari yang sama, semasa mengambil anak-anaknya dari rumah pengasuh mendapati pipi sebelah kanan mangsa kemerah-merahan.

“Siasatan dijalankan mendapati pengasuh seorang wanita yang berusia 48 tahun mengaku tidak sengaja menampar pipi mangsa yang pada masa itu berada di dalam buaian kerana mangsa dikatakan sering muntah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kata beliau, satu kertas siasatan telah dibuka dan diklasifikasikan sebagai kes penderaan kanak-kanak yang disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Ujarnya, polis telah pergi ke rumah pengasuh tersebut dan menahan suspek serta merakam keterangan daripadanya dan beliau dibebaskan dengan jaminan polis.

Menurut Kamarulzaman, pihaknya sedang menunggu laporan penuh perubatan ke atas mangsa sebelum mengambil tindakan lanjut.

“Kes akan disiasat secara mendalam dan kertas siasatan yang dilengkapkan kelak akan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara untuk nasihat dan arahan pertuduhan dengan kadar segera,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast