Foto FAREEZ FADZIL, 26 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempelawa pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional bukan gunasama KKM lantikan tetap serta pegawai perubatan dan pergigian lantikan kontrak untuk mengikuti pengajian di peringkat Sarjana, Area of Special Interest (AOSI), PhD dan kepakaran.

Ketua Setiausaha KKM, Datuk Mohd Shafiq Abdullah berkata, pemakluman awal itu dibuat bagi membolehkan pegawai yang berminat untuk mengikuti pengajian yang ditawar itu membuat persediaan yang sewajarnya menjelang pembukaan tawaran pada 28 Januari 2022.

“Pembukaan tawaran kali ini adalah berbeza daripada tahun-tahun yang lepas di mana pegawai perubatan dan pergigian lantikan kontrak kini turut diberikan peluang untuk mengikuti Program Latihan Kepakaran (PLK) di peringkat Sarjana atau Parallel Pathway,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, sebelum ini hanya pegawai lantikan tetap sahaja diberikan peluang untuk mengikuti kursus dalam perkhidmatan.

Menurutnya, langkah berkenaan adalah selaras dengan keputusan Kerajaan pada 14 Julai tahun lalu supaya KKM bersama kementerian dan agensi pusat yang lain merangka pelan kerjaya yang komprehensif dan inklusif untuk pegawai perubatan dan pergigian lantikan kontrak.

“Bagi maksud ini, kerajaan menerusi pembentangan Bajet Tahun 2022 telah meluluskan kepada KKM peruntukan kewangan sebanyak RM100 juta untuk manfaat sehingga 3,000 pegawai lantikan kontrak.

“KKM ingin merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Pengajian Tinggi yang telah bersama-sama merealisasikan hasrat murni Kerajaan untuk memberi tawaran baharu kepada pegawai perubatan dan pergigian lantikan kontrak di KKM,” ujar beliau.

Pegawai-pegawai yang memenuhi syarat yang ditetapkan boleh membuat permohonan menerusi sistem e-HLP KKM dengan melayari http://ehlp.moh.gov.my. – MalaysiaGazette