Kenderaan kelihatan bergerak perlahan untuk melepasi Kuil Sri Subramaniam Swammy berikutan sambutan Thaipusam ketika tinjauan Lensa Malaysia Gazette di Batu Caves, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 21 JANUARI 2019. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Majlis Perbandaran Selayang (MPS) tidak mengeluarkan permit petak niaga sempena sambutan Thaipusam pada tahun ini.

Pengarah Jabatan Korporatnya, Mohamad Zin Masoad berkata, sebarang aktiviti penjaja sekitar kawasan luar Kuil Sri Subramaniam, Batu Caves adalah tidak dibenarkan.

“Keputusan ini dibuat berdasarkan arahan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) sambutan Thaipusam yang dikeluarkan oleh kerajaan.

“MPS akan membuat pemantauan sepanjang perayaan ini berlangsung dan penjaja yang didapati menjalankan aktiviti tanpa permit akan dikenakan tindakan di bawah Undang-Undang 3 Penjaja (MPS) 2007,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau turut memaklumkan, sebanyak tujuh unit tong sampah Roll On Roll Off (RoRo) dan 26 unit tong sampah ditempatkan di kawasan titik panas bagi mengawal kebersihan sepanjang perayaan itu.

“MPS ingin mengingatkan pengunjung untuk sama-sama mematuhi SOP ditetapkan kerajaan dan menjaga kebersihan kawasan persekitaran sepanjang perayaan berlangsung,” ujarnya.

Rabu lalu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique mengumumkan upacara ‘paal koodam’, aktiviti sembahyang serta perjalanan pedati dibenarkan tanpa melibatkan acara ‘kavadi’ bagi perayaan Thaipusam.

SOP yang ditetapkan bagi Kuil Sri Subramaniar Swamy Batu Caves termasuk jumlah pengunjung adalah tidak melebihi 6,000 orang setiap hari.

Pengunjung untuk ‘paal koodam’ pula dihadkan tidak melebihi 100 orang dan setiap sesi sembahyang adalah selama 30 minit diikuti proses sanitasi.

Kerajaan juga tidak membenarkan gerai jualan sementara dalam bentuk promosi atau jualan di dalam atau luar kawasan kuil sebagai langkah mencegah penularan Covid-19. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast