KUALA LUMPUR – Polis menjalankan siasatan ke atas anggotanya jika wujud kecuaian selepas kejadian seorang orang kena tahan (OKT) cuba melarikan diri di hadapan Klinik Kesihatan Beranang, Semenyih, Selangor, pada Selasa lalu.
Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, siasatan terperinci perlu dilakukan sebelum tindakan tatatertib diambil terhadap anggota polis yang terlibat.
“Kes OKT cuba melarikan diri ini masih dalam siasatan mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata demikian ketika ditanya perkembangan lanjut kes cubaan melarikan diri oleh OKT baru-baru ini memandangkan dia tidak bergari ketika insiden itu berlaku.
Pada 12 Januari lalu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, OKT cuba melarikan diri ketika menaiki lori polis di hadapan klinik berkenaan selepas melakukan ujian saringan Covid-19, di Klinik Kesihatan Beranang, Semenyih pada Selasa lalu.
Bagaimanapun, cubaannya gagal apabila OKT berjaya ditahan semula pada jarak 50 meter dari lokasi kejadian berlaku. – MalaysiaGazette