MELAKA – Hasrat tiga sekawan bercuti di A ‘Famosa Resort, di sini, berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka maut selepas motosikal ditunggangi terbabas sebelum kepalanya digilis lori di Kilometer 176.6 arah utara Lebuhraya PLUS tengah hari tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, mangsa maut dikenali Muhammad Shahrul Fadzli Jemahal, 24.

Menurutnya, dua lagi rakannya masing-masing berusia 31 dan 36 tahun yang terselamat mengalami kecederaan di bahagian badan dalam kejadian jam 12.30 tengah hari.

“Kejadian berlaku apabila tiga sekawan dari Pekan Nanas, Johor sedang dalam perjalanan bercuti di A ‘Famosa Resort, Alor Gajah dengan menunggang tiga buah motosikal.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal jenis Yamaha LC ditunggang mangsa telah bergesel dengan motosikal dua lagi rakannya semasa memotong sebuah lori sebelum hilang kawalan menyebabkan ketiga-tiga mereka terjatuh di atas lebuh raya.

“Kejadian mengakibatkan kepala mangsa digilis lori terbabit dan meninggal dunia di lokasi manakala dua lagi rakannya cedera di badan, kaki dan tangan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Tambahnya, usaha mengesan lori berkenaan masih diteruskan bagi mendapatkan keterangan lanjut.

Mayat mangsa dibawa Hospital Jasin untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette