Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr. Norlizan Mohd Noor pada sidang media mengenai pelaksanaan penguatkuasaan aktiviti melibatkan haiwan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 di Wisma Tani, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 17 JANUARI 2022.

PUTRAJAYA – Setakat semalam, sebanyak 13,000 ekor babi yang dikesan mengalami penyakit Demam Babi Afrika (ASF) di Paya Mengkuang di Masjid Tanah, Melaka telah dihapuskan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).

Ketua Pengarah Veterinar, Datuk Dr Norlizan Mohd Noor berkata, kesemua babi tersebut membabitkan 19 ladang daripada 35 ladang ternakan yang dikesan menghadapi masalah itu di seluruh negara.

Katanya, baki 3,000 ekor babi lagi akan dimusnahkan dalam masa terdekat bagi mengelak penularan.

“Kita jangka sehingga minggu ketiga (minggu depan) kita boleh musnahkan 16,000 ekor lagi dengan syarat ia mestilah ladang babi yang dikesan positif.

“Saya rasa hujung minggu ini mungkin semuanya sudah boleh selesai (musnahkan babi),” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Dr Norlizan berkata, usaha untuk memusnahkan babi terbabit bukanlah suatu perkara yang mudah kerana ia dilakukan dengan teliti dan melihat haiwan yang benar-benar dijangkiti virus tersebut.

Bagaimanapun, kata beliau, pihaknya mendapat kerjasama yang sangat baik daripada beberapa jabatan dan juga agensi kerajaan termasuk pihak berkuasa tempatan di negeri berkenaan untuk membantu usaha pemusnahan dijalankan.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Dr. Norlizan memaklumkan, penyakit bawaan babi itu tidak menjangkiti manusia sebaliknya, ia hanya melibatkan haiwan berkenaan sahaja.

Katanya, haiwan yang dijangkiti penyakit itu masih boleh dimakan dengan syarat dagingnya perlu dimasak dengan menggunakan suhu kepanasan melebihi 60 darjah celcius.

Sebelum ini, media melaporkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Melaka mengesan virus tersebut di beberapa ladang babi di Melaka.

Perkara itu disahkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman yang memaklumkan pengesahan mengenai adalah selepas diadakan bedah siasat ke atas bangkai babi yang dilakukan pada 18 Disember tahun lepas.

Katanya, ujian makmal itu melibatkan sampel organ termasuk tonsil, hati, ginjal, jantung, limpa, nodus limfa dan paru-paru. – MalaysiaGazette