Dua remaja berusia 17 tahun ditahan dalam Ops Samseng di Kuantan, Pahang malam tadi.

KUANTAN – Dua remaja berusia 17 tahun antara yang ditahan dalam Ops Samseng di sini malam tadi kerana melakukan aksi menunggang motosikal secara merbahaya termasuk zig-zag.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kedua-dua remaja dicekup di dua lokasi  berasingan.

“Dalam operasi pertama di Jalan Pintasan Kuantan, kami telah membuat pemantauan dan mendapati penunggang motosikal remaja terbabit menunggang jenis Yamaha 135 warna hitam.

“Remaja yang bekerja sebagai pembantu kedai telah melakukan aksi menundukkan badan, zig-zag, bersaing sesama sendiri dan tidak mempunyai lesen memandu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Wan Mohd Zahari Wan Busu

Manakala Op Samseng di Jalan Tanah Putih dekat sini polis menahan seorang lagi remaja yang masih bersekolah dan mempunyai lesen L yang turut melakukan aksi yang sama dan membahayakan pegguna jalan raya lain.

Tambah Wan Mohd Zahari, kedua-dua suspek telah dibuat pengecaman Balai Trafik Kuantan di sini dan dan ditahan dibawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette