Kerajaan negeri akan menambah baik kebajikan dan keselesaan  pemandu  e-hailing dengan mewujudkan tempat atau ruang rehat kepada golongan berkenaan.- Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri akan menambah baik kebajikan dan keselesaan  pemandu  e-hailing dengan mewujudkan tempat atau ruang rehat kepada golongan berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, untuk itu, kerajaan negeri akan berbincang dengan Iskandar Regional Development Authority (IRDA) dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

Pihaknya turut mengadakan perbincangan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menilai semula lokasi sesuai sebelum ia di bina di setiap kawasan.

Kesemua aspek, menurut Hasni perlu diperhalusi untuk mengelak kecacatan pandangan pusat bandar raya.

“Kerajaan mengalukan AirAsia untuk menambah baik lagi,  saya akan adakan perbincangan bersama IRDA agar dapat menambah baik kebajikan e-hailing dan mungkin dapat menyediakan pit stop atau ruang rehat kepada pemandu penghantaran bekalan makanan.

“Jadi, sekurang-kurangnya kita akan dapat menyediakan kemudahan seperti ruang berehat selesa dan selamat kepada golongan itu.

“Dengan adanya pit stop nanti, sudah tentu mudahkan mereka yang ingin bersolat atau bersihkan diri, jadi perkara itu akan kerajaan lihat dan kaji cara terbaik untuk keselesaan pemnadu e-hailing di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran AirAsia Super Apps (AirAsia Ride, AirAsia Food, AirAsia Grocer dan AirAsia Express) di sini petang tadi.

Hasni berkata, inisiatif AirAsia mewujudkan aplikasi berkenaan dilihat sebagai satu bentuk aktiviti ekonomi yang dapat membantu masyarakat terjejas ekoran penularan Covid yang memerlukan ramai pihak mahu menambahkan pendapatan tambahan.

Kata Hasni, kerajaan negeri yakin dengan adanya aplikasi yang dibangunkan syarikat penerbangan itu akan mendapat permintaan terutama kepada golongan pencari kerja.-MalaysiaGazette