Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein

KUALA LUMPUR – Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, sebarang keputusan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor terletak di tangan kerajaan negeri itu.

Sekiranya PRN Johor terpaksa diadakan, semua pihak perlu memastikan ia berjalan lancar dan selamat.

“Tunggu keputusan dahulu. Kita perlu fikirkan Covid-19. Jangan takut-takutkan orang ramai kerana yang penting sekiranya keputusan mengadakan PRN biarlah berjalan dengan selamat.

“Pengalaman kita mengadakan PRN di Sabah, Melaka dan Sarawak perlu dijadikan sandaran,” katanya dalam sidang media selepas memberikan amanat tahun baharu Menteri Pertahanan di Wisma Perwira, hari ini.

Hishammuddin diminta mengulas mengenai desas-desus yang mula tersebar bahawa PRN Johor akan diadakan dalam tempoh terdekat selepas kerajaan negeri itu kini hanya mempunyai majoriti kelebihan satu kerusi iaitu 28 berbanding pembangkang 27 kerusi.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, apa-apa keputusan untuk mengadakan PRN Johor juga mesti mendapat pandangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Orang Johor akan tanya apa bezanya PRN di Melaka, Sarawak kalau sekiranya PRN di Johor diteruskan. Bukan untuk saya tentukan.

“Tetapi apabila ianya (PRN) sudah diputuskan nanti tugas kita di Mesyuarat Kuartet Covid-19 dan sebagai menteri yang mengkoordinasikan Covid-19 di antara kementerian, saya terpaksa membawa bersama (keputusan) kepimpinan negeri Johor,” katanya lagi.

Sebelum ini beberapa pihak sudah membayangkan kemungkinan berlaku PRN di Johor termasuk Ketua Penerangan BN Selangor, Isham Jalil dan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Isham menjangkakan PRN Johor adakan diadakan antara tiga hingga empat bulan akan datang.

Semalam Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, PRN dan Pilihan Raya Umum (PRU15) perlu diadakan segera kerana kerajaan yang ada sekarang “diugut” oleh pembangkang. – MalaysiaGazette