Meenakshi Raman.

GEORGE TOWN –  Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan Negeri Pulau Pinang termasuk Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mengkaji semula prestasi pengendali tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Nibong Tebal.

Ia berikutan kebakaran di tapak pelupusan sampah kawasan itu yang masih marak di bawah tanah walaupun api di permukaan dilaporkan sudah dipadamkan dan terkawal.

Presiden SAM, Meenakshi Raman berkata, tindakan sewajarnya perlu diambil untuk mengelakkan sebarang insiden pencemaran alam sekali gus membahayakan kesihatan masyarakat di sini.

Jelas beliau, Pulau Pinang dikenali sebagai negeri teratas dengan kadar kitar semula tertinggi di negara ini tetapi banyak kes pembuangan terbuka, salah urus sisa dan prestasi tapak pelupusan Pulau Burung mencerminkan pengurusan sisa negeri.

“Kami bimbang mengenai penjaja insinerator yang akan mula memujuk kerajaan negeri bagi mendapatkan teknologi mereka.

“Daripada pirolisis kepada loji sisa dan tenaga, teknologi ini diarak sebagai penyelesaian kepada pelupusan akhir sisa dan mendesak sifar tapak pelupusan sampah dengan menawarkan pembakaran.

“Namun sebenarnya, pembakaran juga memerlukan ruang tapak pelupusan bagi membuang abu dasar dan abu terbang yang lebih toksik dicirikan sebagai sisa berbahaya perlu menjalani proses penstabilan sebelum disimpan di tapak sisa berbahaya,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Menurut Meenakshi, tapak pelupusan sampah yang sama sudah beberapa kali terbakar pada tahun lalu dan sebelumnya, selain terdapat aduan air resapan yang melimpah dari tapak pelupusan itu.

“Limpahan itu bukan sahaja mencemarkan perairan, malah turut menyebabkan kerosakan pada hutan bakau berhampiran.

“Syarikat yang uruskan pelupusan itu sudah diberi notis untuk menaik taraf tapak kerana penyelenggaraannya yang lemah dan daripada rentetan masalah yang dihadapi, pihak berkuasa berkenaan perlu menjalankan siasatan rapi.

“Sehubungan itu, SAM menggesa pihak berkenaan untuk mengambil tindakan wajar bagi mengelakkan sebarang insiden yang boleh membahayakan masyarakat berhampiran dan mencemarkan alam sekitar,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Meenakshi berkata, Pulau Pinang harus menjadi pelopor dalam menuju ke arah sifar sisa dengan pendekatan berasaskan komuniti bagi pencegahan sisa, pengurangan plastik, penggunaan semula, pembaikan dan pengkomposan sisa organik.

“Pengasingan sisa mandatori di negeri ini mesti dikuatkuasakan secara ketat dengan infrastruktur yang membolehkan sistem pengumpulan yang baik dan keselamatan kitar semula,” kata beliau. – MalaysiaGazette