Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan wang tunai bernilai RM353,723.81 dan wang RM75,846.82 milik syarikat Nine Nine International milik isteri kepada Datuk Addy Kana yang didakwa hasil aktiviti haram dilucuthak dan menjadi milik kerajaan.

KUALA LUMPUR – Wang sitaan milik ahli perniagaan, Alvin Goh Leong Yeong dan isteri kepada ‘Datuk Addy Kana’, Alyaa Syuhaila Mohamad Shariff bernilai lebih RM500,000 tidak dituntut pihak berwajib.

Selain wang milik mereka, beberapa syarikat turut disita, kata Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Akram Gharib.

“Notis kepada pihak ketiga sudah dikeluarkan namun tidak ada pihak ketiga hadir mahkamah hari ini,” katanya ketika prosiding pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan di sini hari ini.

Sebelum ini permohonan notis kepada pihak ketiga telah dikeluarkan bagi memberi peluang kepada pihak berkenaan hadir sendiri atau diwakili peguam bagi mempersoalkan kenapa harta itu tidak boleh dilucut hak oleh kerajaan kelak.

Mohamed Zaini kemudian menetapkan 22 Februari ini untuk pengurusan kes bagi Avin Goh dan dua syarikatnya manakala pendengaran bagi melucut hak wang daripada Alyaa Syuhaila serta sebuah syarikatnya ditetapkan pada 28 Mac.

Sebelum ini, SPRM telah memohon untuk melucut hak wang milik Alvin Goh berjumlah RM60,232.01 yang disimpan dalam tiga akaun bank lelaki itu dan wang RM10,588.94 serta RM16,721.75, masing-masing milik syarikatnya.

Syarikat tersebut Malaysian House of Internet dan Network Computer.

Manakala wang milik Alyaa Syuhaila berjumlah RM353,723.81 yang berada dalam lima akaun banknya dan wang RM75,846.82 milik Nine Nine International.

Sitaan itu telah difailkan kerana wang yang disita pada Disember 2020 dan Januari 2021 telah diperoleh melalui aktiviti wang haram seperti perjudian atas talian selain dagangan mata wang kripto tanpa lesen.

Ini merupakan kesalahan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001). -MalaysiaGazette