PONTIAN – Seramai enam pendatang tanpa izin (PATI) ditemui mati lemas manakala seorang lagi selamat dalam nahas bot karam dekat perairan pantai di sini hari ini.
Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Nurul Hizam Zakaria berkata, dengan penemuan itu ia menjadikan kesemua 13 orang warga Indonesia yang terlibat dalam kejadian itu ditemui.
Seorang mangsa yang terselamat itu ditemui pada kedudukan 3.5 batu nautika daripada lokasi kejadian bot karam, katanya.
Terdahulu, seramai empat wanita dan dua lelaki diselamatkan pada pukul 10 pagi tadi diikuti dengan penemuan dua mayat wanita dan seorang wanita terselamat pada pukul 1 tengahari tadi.
“Selepas itu, pihak kami berjaya menemui empat mayat wanita dalam keadaan terapung dan lengkap berpakaian kira-kira 2.30 petang.
“Dengan penemuan itu Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) ditamatkan pada pukul 3.45 petang tadi,” katanya dalam sidang media di Pangkalan Hadapan Carilamat Jeti Persatuan Nelayan Pontian, Pontian Besar petang tadi.
Siasatan awal mendapati, bot yang dipandu dua tekong bertolak dari Pulau Jalung, Batam, Indonesia kira-kira pukul 9 malam tadi sebelum dipukul ombak kira-kira setinggi 1.5 meter hingga tiga meter di kedudukan 4.2 batu nautika dari perairan Pontian.
Sementara itu, dalam sidang media yang sama, Ketua Polis Daerah Pontian, Supritendan Mohamad Shofee Tayib berkata, kesemua mereka berumur antara 25 hingga 35 tahun itu, dipercayai mahu masuk ke negara secara haram melalui jeti di Api-Api.
Seorang daripada wanita berkenaan kini kritikal dirawat di Hospital Sultanah Aminah manakala yang lain dihantar ke Hospital Pontian.
Sementara dua lelaki yang dipercayai tekong ditahan di Ibu Pejabat Daerah Pontian dan akan dipohon reman.
Kedua-dua yang ditahan itu disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: