Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Pas perlu memberikan penjelasan kepada umum dengan segera berkaitan penguguran Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas jika ianya berkaitan masalah disiplin parti.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, penjelasan tidak harus diberikan kepada ahli parti sahaja kerana pengguguran itu telah diumumkan secara rasmi oleh pemimpin parti.

”Jika masalah disiplin dalaman, maka penjelasan harus diberikan kepada publik, bukan hanya kepada ahli parti sahaja. Ia kerana pengguguran itu telah dimasyhurkan secara rasmi oleh pimpinan parti PAS. Bukan bocor atau viral sahaja,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Menurut Nik Abduh, masalah disiplin mungkin menjadi faktor pengguguran Mohd. Khairuddin selepas Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan menolak alasan pengguguran itu disebabkan perselisihan antara Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional.

Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali

“YB Datuk Dr. Mohd Khairuddin at Takiri adalah antara figura utama pemimpin Pas. Beliau seorang bekas menteri daripada Parti Pas. Beliau juga adalah Setiausaha Majlis Syura Ulamak Pas.

“Maka menjadi hak publik, bukan hanya ahli Pas untuk mengetahui sebab pengguguran tersebut. Pengguguran kerana isu disiplin adalah satu pencalaran kepada akhlak berjamaah,” Nik Abduh.

Tambah Ahli Parlimen Bachok itu, tiga pihak akan terjejas atau rasa terhiris dengan ‘pencalaran’ tersebut.

Selain Mohd Khairuddin dan penyokong Ahli Parlimen Kuala Nerus turut terkesan adalah Majlis Syura Ulamak Pas.

“Justeru saya kira penjelasan rasmi harus diberikan segera. Ia boleh membina persepsi yang baik kepada Parti Pas. Pas sekarang memerintah negara.

“Segala mesti telus apabila melibatkan ahli parti yang memegang amanah rakyat. Beliau adalah wakil rakyat Parlimen Kuala Nerus.

“Apabila seorang orang besar parti mencabar beliau agar menyatakan alasan pengguguran, maka ia adalah buruk dan teruk. Macam tercabar, lalu marah dan tunjuk ‘bekeng’,” jelas Nik Abduh.

Menurut Nik Abduh, Mohd Khairuddin adalah pemimpin Pas yang amat kuat menyokong usaha memulihkan hubungan parti itu dan UMNO dalam Muafakat Nasional.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada Jumaat lepas mengesahkan pengguguran Mohd Khairuddin sebagai AJK Pas tidak sampai dua bulan dilantik ke jawatan tersebut.

Katanya, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Pas yang diadakan di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Abdul Hadi enggan mengulas lanjut punca sebenar bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu disingkirkan.

Sementara Takiyuddin dalam reaksinya, bagaimanapun menafikan penarikan kembali jawatan Mohd Khairuddin berkait dengan Muafakat Nasional.

Katanya, Pas tidak pernah menggugurkan seseorang daripada jawatan hanya disebabkan berbeza pendapat kecuali kerana bercanggah dengan perlembagaan parti.

Takiyuddin bagaimanapun tidak menjelaskan sebab-sebab pengguguran Mohd. Khairuddin sebaliknya menyatakan tindakan itu diambil kerana membabitkan masalah pentadbiran dan pengurusan parti.- MalaysiaGazette