Home Nasional Polis siasat aksi bahaya kanak-kanak tahan kereta tengah jalan

Polis siasat aksi bahaya kanak-kanak tahan kereta tengah jalan

JOHOR BAHRU – Polis mengesahkan video seorang kanak-kanak menahan kereta yang dirakam seorang pemandu di Jalan Bandar, Pasir Gudang berhampiran Taman Tasik Layang-Layang di sini semalam.

Video berdurasi 27 saat melalui rakaman dashcam kereta itu tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, bagaimanapun sehingga hari ini, pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai kejadian tersebut.

“Berdasarkan video tersebut tiada sebarang kemalangan direkodkan.

“Pihak polis memohon orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini untuk tampil membuat laporan di balai polis  berhampiran,” katanya ketika dihubungi untuk mengesahkan kejadian itu di sini hari ini.

Menurut rakaman terbabit, kejadian berlaku petang semalam kira-kira dalam pukul 5.46 petang di mana seorang kanak-kanak secara tiba-tiba meluru ke lorong kanan menahan kenderaan awam.

Video berkenaan itu juga mendapat pelbagai kecaman natizen termasuk menyalahkan ibu bapa kanak-kanak terbabit kerana tidak bertanggungjawab soal keselamatan anaknya.-MalaysiaGazette