M. Saravanan

KUALA LUMPUR – Sambutan Thaipusam dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat pada saat-saat akhir menyebabkan hampir keseluruhan masyarakat India kecewa dengan kerajaan hari ini.

Malah sudah ada bayangan kerajaan hari ini berkemungkinan besar akan hilang sokongan dengan tindak-tanduk tidak popular membelakangkan suara masyarakat India negara ini, dedah Menteri Sumber Manusia,, Datuk Seri M Saravanan hari ini.

Kata Saravanan, beliau dihujani soalan dan kemarahan puluhan ribu  penganut Hindu berikutan pelbagai SOP begitu ketat bagi sambutan Thaipusam seluruh negara.

“Mereka tanya saya soalan-soalan sukar untuk saya jawab, bagaimana pasar malam dan pusat beli belah seperti Pavilion boleh benarkan kehadiran pengunjung ribuan orang pada satu-satu masa tetapi untuk sambutan keagamaan seperti pelbagai SOP di perkenalkan atas nama Covid-19?

“Bagaimana saya hendak jawab? Tolong cakap dengan saya kerana apa sahaja berkaitan dengan komuniti India, saya dan MIC akan jadi sasaran dulu.

“Yang tentukan SOP ini adalah Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan juga Kementerian Kesihatan (KKM) yang diterajui oleh Khairy Jamaluddin tapi ironinya saya dan Menteri Perpaduan, Datuk Halimah Saddique jadi sasaran terutamanya dalam media sosial. Kami dipersalahkan, kami di maki hamun dan segala macam,” katanya yang juga Timbalan Presiden MIC ketika berucap kepada pengunjung kuil Subramaniyar Batu Caves hari ini.

Jelasnya, walaupun tindakan kerajaan pada saat-saat akhir mengeluarkan syarat-syarat ketat  untuk memastikan penularan Covid-19 tidak terjadi tetapi rasional keputusan ini masih dipersoalkan.

“Rata-rata masyarakat India sangat kecewa, tidak gembira dan marah dengan SOP Thaipusam kali ini, jangan ingat komuniti India ini kecil, undi mereka amat signifikan. Anda ingat dengan kekalahan besar Barisan Nasional pada 2018? Sokongan masyarakat India beralih arah?

“Semua kecewa dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan hari ini dan saya jadi sasaran kerana saya juga adalah sebahagian daripada kerajaan ini,” tambahnya.

SOP sambutan perayaan itu yang antaranya menetapkan hanya upacara ‘paal koodam’ atau menjunjung belanga mengandungi susu, aktiviti sembahyang dan perjalanan pedati, dibenarkan pada Thaipusam kali ini.

Upacara ‘paal koodam’ dibenarkan bermula 14 hingga 19 Januari dengan penetapan jumlah kehadiran berbeza mengikut kuil, manakala acara ‘kavadi’ serta gerai sementara tidak dibenarkan.

Kuil  Subramaniyar Batu Caves yang sentiasa menjadi tumpuan jutaan pengunjung dan penganut ketika Thaipusam hanya dihadkan kepada 6,000 orang sahaja walaupun rayuan telah dibuat oleh pengurusan kuil sebelum ini.

Luah Saravanan lagi, ada pula segelintir pihak mengambil peluang mengeruhkan lagi keadaan dengan menyebarkan kandungan media sosial yang menimbulkan rasa marah umum kepadanya.

“Yang buat kerja, saya. Merayu cuba perjuang isi hati masyarakat India bagi sambutan Thaipusam kali ini yang hendak membayar nazar pada Dewa Muruga.

“Tapi ada pula yang kerjanya bangun sahaja terus maki hamun dan buat pelbagai tuduhan dalam media sosial WhatsApp, kononnya Saravanan buat itu dan tidak buat ini.

“Tahukah kamu selama ini saya banyak kali sudah bawa cadangan kuil untuk dipertimbangkan bagi SOP Thaipusam? Bukan sekali dua tapi banyak kali. Tanya Menteri Perpaduan, beliau bersama saya dalam Kabinet.

“Kumpulan ini langsung tidak tahu apa-apa untuk bantu masyarakat kita, langsung tidak lakukan apapun untuk perjuang kebajikan selain daripada keluarkan semua jenis fitnah dan rasa benci.

“Kepada orang-orang begini, taubatlah. Sedar diri sedikit, anda tidak ke mana dengan buat kerja sia-sia seperti ini,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Padan muka Pak Pandir modern mendukung biawak hidup yang menguntungkan ekonomi penjajah Inggeris. Hidupkan semula semangat Melayu berjaya membatalkan Malayan Union pro expats.

Comments are closed.