Penganut Hindu menjunjung belanga berisi susu sempena sambutan Thaipusam ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Batu Caves, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 18 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Mungkin pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) membendung penularan Covid-19 sedikit ketat menyebabkan sambutan Thaipusam tahun ini agak sepi dan tidak berwarna warni seperti sebelum ini.

Malah bunyi muzik urumi, acara kavadi penuh tradisi serta pelbagai ragam juga tidak ada menyebabkan suasana Thaipusam seperti tidak terasa.

Acara kavadi kali ini tidak dibenarkan pada hari Thaipusam manakala hanya sebilangan kecil sahaja boleh berjalan mengikut pendati membawa Dewa Muruga dari Kuil Sri Maha Mariamman ke Kuil Sri Subramaniyar Batu Caves yang perjalananya sejauh 13 kilometer.

Manakala upacara membawa belanga susu dibenarkan tanpa had sama iaitu 24 jam namun perlu terlebih mendaftar dan mendapatkan tempahan mengikut waktu yang telah diperuntukkan.

Gerai-gerai yang dulunya cukup meriah dengan bazar pelbagai barangan dan makanan tidak dibenarkan kali ini juga menyebabkan suasana agak suram.

MalaysiaGazette mendapati kuil Subramaniyar, Batu Caves yang satu ketika dahulu boleh mencecah sehingga 1.5 juta pengunjung agak lenggang kali ini kerana bilangan kehadiran telah dihadkan bagi memastikan tidak ada penularan atau Kluster Thaipusam tahun ini.

Penganut Hindu membersihkan diri semasa melakukan ritual keagamaan sempena sambutan Thaipusam ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Batu Caves, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 18 JANUARI 2022.

Upacara sembahyang Dewa Muruga juga telah dihadkan kepada 18 sesi dengan jumlah penganut hanya 500 setiap sesi, rata-rata yang naik 272 tangga kuil Batu Caves yang dahulunya agak padat sesak kelihat lebih teratur dengan jumlah tersebut.

Penganut terlebih dahulu berkunjung ke tebing sungai bagi mandi menyucikan tubuh badan, berdoa sebelum memulakan perjalanan mendaki anak tangga kuil Subramaniyar bagi membayar nazar.

Namun waktu sembahyang yang dulunya panjang kini dihadkan bagi memberi laluan kepada penganut yang sudah menanti di bawah kuil.

Sehingga pukul 3 petang tadi, pengunjung dan penganut yang hadir di lihat tidak ramai seperti keselaluan sebaliknya masih ada yang beratur menunggu giliran naik tangga Batu Caves.

Seorang kanak-kanak penganut Hindu sedang menjalani ritual mencukur rambut sempena sambutan Thaipusam ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Batu Caves, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 18 JANUARI 2022.

Bagaimanapun, pengunjung dan penganut mempunyai pandangan berlainan, ada yang bersetuju dengan SOP ketat kerana merasakan suasana bukan sahaja terkawal malah tidak ‘bising’ seperti selalu.

Seorang pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Manimaran berkata, dirinya merasakan lebih dekat dengan ‘Dewa Muruga’ dalam keadaan yang sunyi.

“Saya dapat bernazar, berdoa dan menyebut nama Dewa Muruga sepanjang naik tangga tanpa langsung rasa terganggu, SOP ini bagus buat saya,” katanya.

Manakala kebanyakan penganut dan pengunjung termasuk pelancong asing pula kecewa kerana tidak dapat menyambut serta menyaksikan perayaan cukup popular dan tradisi seperti selalu.

Turut hadir di kuil Batu Caves hari ini ialah Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan bersama Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Halimah Mohamed Sadique serta beberapa orang duta termasuk Duta India serta Ukraine.

Penganut Hindu menjunjung belanga berisi susu sempena sambutan Thaipusam ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Batu Caves, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 18 JANUARI 2022.

MalaysiaGazette difahamkan ada kemungkinan selepas 19 Januari ini iaitu selepas tamat penguatkuasaan SOP Thaipusam, kebanyakan penganut akan tampil melakukan nazar membawa kavadi.

Selain itu,  gerai-gerai serta bazar akan dibuka di perkarangan kuil bagi memastikan penjual terutamanya yang sudah menempah barangan makanan untuk menjalankan sahaja perniagaan mereka.

Namun ianya tidak dapat disahkan lagi.

Thaipusam yang disambut penganut Hindu di seluruh dunia pada bulan Thai iaitu bulan ke-10 dalam kalendar Tamil untuk memperingati peristiwa Dewa Murugan menerima lembing suci daripada ibunya, Dewi Parvati bagi menghapuskan kuasa jahat iaitu Soorapadman dan mengembalikan kemakmuran serta kesejahteraan manusia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast