Syed Saddiq Syed Abdul Rahman MUDA Armada CBT
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

JOHOR BAHRU – DAP akan berusaha untuk bekerjasama dengan MUDA bagi menghadapi pilihan raya umum, malahan pilihan raya negeri Johor yang mungkin diadakan tidak lama lagi.

Pengarah Biro Pendidikan Politik Kebangsaan DAP, Liew Chin Tong berkata, kerjasama dengan MUDA penting untuk parti itu bagi menghadapi Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

katanya, kerjasama itu juga mustahak untuk meningkatkan semula keyakinan rakyat bahawa Pakatan Harapan (PH) merupakan pilihan yang terbaik.

Menurutnya, gandingan dengan kuasa berbangkit yang baharu diharapkan berupaya untuk memperkukuhkan parti serta membuka lembaran politik yang baharu.

Jelasnya, MUDA menawarkan satu pilihan kepada pengundi Melayu yang berada di atas pagar terutamanya kerana parti itu bersifat majmuk dan memberi ruang kepada perempuan Melayu yang muda untuk menyertai politik.

“MUDA akan memberi kesan tahap gempa bumi yang akan mewujudkan  plat tektonik baharu dan memaksa parti sedia ada melihat kepentingan pengundi Melayu atas pagar serta mengubah peraturan politik,” katanya kepada Sinchew Daily.

Chin Tong bagaimanapun juga percaya MUDA akan berdepan halangan tersendiri termasuk cabaran untuk “klon” pemimpin seperti Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di lebih banyak kawasan pilihan raya.

Katanya, MUDA juga berdepan cabaran untuk memenangi lebih banyak kerusi “separuh bandar separuh kampung” seperti Muar di Johor.

“MUDA juga perlu menguruskan perbezaan pendapat dalaman dan membina hubungan ahli yang baik bagi menyatukan semua,” katanya.

Menurutnya, adalah penting untuk MUDA mencari posisi politik sendiri dan mengenal pasti formula yang boleh memenangkan rakan pakatan dan diri sendiri melalui rundingan yang akan dijalankan.

Mengenai spekulasi pilihan raya negeri Johor pula, Chin Tong menjangkakan pilihan raya akan mengambil tempat selepas Tahun Baharu Cina, tetapi sebelum bulan Ramadan.

“Jika Johor membuka tembakan pertama, maka pilihan raya umum juga semakin dekat,” katanya.

Menurutnya, keputusan sama ada pilihan raya negeri diadakan lebih awal bergantung kepada beberapa faktor yang merangkumi persaingan dalaman UMNO, pendirian Menteri Besar Johor dan juga Istana negeri. – MalaysiaGazette