Tiga suspek yang tangkap bersama dadah yang dirampas dalam serbuan di sebuah kediaman di Taman Ayer Molek.

MELAKA – Sepasang kekasih dan adik lelakinya diberkas polis selepas dipercayai terbabit dalam pengedaran dadah dalam satu serbuan di sini awal pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka, Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, serbuan dilakukan di sebuah rumah di Taman Ayer Molek jam 12.30 pagi hasil maklumat awam.

“Susulan itu polis menahan seorang lelaki dan wanita yang mengaku pasangan kekasih berusia 24 tahun dan 31 tahun bersama adik lelaki berkenaan berumur 22 tahun.

“Pemeriksaan lanjut menjumpai lima plastik lutsinar berisi dadah disyaki heroin seberat 35 gram,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek mengakui baharu sebulan menjalankan aktiviti pengedaran dadah di sekitar kawasan setempat dari rumah terbabit.

Hasil ujian saringan air kencing terhadap semua mereka mendapati dua beradik lelaki itu positif opiat manakala wanita yang bekerja di kedai makan positif syabu.

“Semua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 24 Januari ini untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis menasihati orang ramai terutama pasangan muda berhati-hati memilih pasangan hidup agar tidak terjebak dalam penagihan atau pengedaran dadah yang boleh merosakkan masa depan mereka,” katanya.