logo polis
Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Siasatan berhubung kes gangguan seksual membabitkan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini terhadap seorang wanita ahli sebuah parti politik, akan dilengkapkan minggu ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, setakat ini, beberapa individu termasuk ADUN serta wanita berkenaan sudah dipanggil bagi memberi keterangan dan melengkapkan siasatan berkaitan dakwaan itu.

“Setakat ini, siasatan masih dijalankan dan beberapa individu telah kami panggil untuk merakam percakapan berhubung kes ini.

“Kami masih lagi menyiasat, insya-Allah siasatan dilakukan secara adil dan mungkin memerlukan masa dua tiga hari untuk diselesaikan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Isnin lepas, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Hussin Zamora mengesahkan menerima laporan polis dibuat wanita berusia 26 tahun itu di Balai Polis Kota Tinggi.

Sebelum ini, tular mengenai gangguan seksual seorang mangsa dipercayai ahli sebuah parti politik di Johor, yang mendakwa telah beberapa kali diganggu secara seksual oleh ADUN terbabit.

Bagaimanapun, ADUN berkenaan telah menafikan dakwaan itu dan menyatakan ia satu konspirasi politik, fitnah serta cubaan untuk menjatuhkan maruahnya sebagai ahli politik. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast