Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bercakap pada sidang media berkenaan kenyataan Suruhanjaya Sekuriti siasatan kes Tan Sri Azam Baki di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 19 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menggesa supaya sebuah pasukan khas ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan berkaitan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berhubung pemilikan sahamnya.

Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, Azam perlu mengambil garden leave bagi memberi laluan kepada siasatan yang lebih telus dan adil.

Menurut beliau, pasukan khas itu harus melibatkan SPRM, Suruhanjaya Sekuriti (SC), Jabatan Peguam Negara serta Polis Diraja Malaysia namun ia perlu mengecualikan pembabitkan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu sendiri.

“Ambil tindakan secara terhormat, kita tidak minta anda (Azam) berundur dari jawatan (tetapi) bersihkan nama anda, ambil garden leave.

“Saya nyatakan ini kerana SPRM dahulu pernah tubuhkan pasukan khas dalam kes 1MDB, kenapa tidak buat pasukan khas dalam bab ini?,” katanya menerusi sidang media di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

Tambah Syed Saddiq, rata-rata rakyat di negara ini juga tidak bersetuju dengan kenyataan yang telah dikeluarkan oleh SC semalam berhubung akaun dagangan membabitkan Azam.

Jelas Ahli Parlimen Muar itu, Malaysia turut dijadikan sebagai ‘laughing stock’ berdasarkan liputan dan laporan media antarabangsa dalam kes tersebut.

“Tetapi jika Azam mengambil garden leave untuk bersihkan namanya dan kalau beliau berjaya dibebaskan oleh badan siasatan ini, nama SPRM kembali pulih, nama beliau kembali pulih dan tidak ada orang pertikaikan sistem perundangan yang dilalui.

“Ini kerana rakyat ingin tahu, bila ada konflik pertindahan kepentingan seperti ini, nama institusi (SPRM) itu akhirnya yang terjejas teruk, termasuk pegawai-pegawai yang berkhidmat di dalamnya.

“Kerisauan saya adalah ketika ini kita berada di tahap paling rendah, kepercayaan rakyat ke atas institusi SPRM yang sepatutnya dipelihara telah pun tercemar, tidak adil untuk kita kata hanya kerana seorang habis satu institusi,” ujarnya.

Semalam, menerusi satu kenyataan, SC tidak dapat memastikan secara muktamad jika berlaku pelanggaran di bawah Seksyen 25(4) SICDA dalam akaun dagangan membabitkan Azam.

“SC telah memuktamadkan siasatannya dan berdasarkan bukti yang dikumpul, SC tidak dapat memastikan secara muktamad wujud pelanggaran di bawah Seksyen 25(4) SICDA telah berlaku,” katanya.

Tidak lama kemudian, Azam menerusi satu kenyataan ringkas melahirkan rasa syukur di atas keputusan SC yang mendapati tiada kesalahan dilakukannya.

Azam berkata, beliau dimaklumkan oleh SC bahawa siasatan terhadap perkara itu telah dimuktamadkan, oleh itu, SC telah menutup fail inkuiri tersebut.

”Dengan itu, saya akan meneruskan tanggungjawab sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk membanteras gejala rasuah di negara tanpa mengira darjat atau pangkat,” katanya. – MalaysiaGazette