Bekas penjaga gol Perak FC, Muhammad Azri Ab Ghani berjaya menghalang asakan pasukan pasukan Selangor FC pada perlawanan Piala Malaysia 2021 saingan kumpulan B di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 26 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Penjaga gol baharu Kuala Lumpur City FC, Azri Ghani ingin menggunakan peluang bekerjasama dengan penjaga gol import, Kevin Ray Mendoza.

Ia bagi memperbaiki prestasi diri selain sedar bukan mudah untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.

Dia yang mengikat kontrak selama dua tahun bersama skuad kendalian Bojan Hodak itu tidak mahu terburu-buru menjadi penjaga gol utama.

Sebaliknya mahu mendapatkan pengalaman baharu bersama Mendoza dalam sesi latihan untuk lebih cemerlang sepertimana yang telah dilakukan oleh penjaga gol dari Filipina itu musim lalu.

Apa yang penting adalah komitmen dalam memastikan dirinya mampu mempertaruhkan aksi dengan lebih baik kerana sasarannya adalah pada musim 2023 untuk dijadikan sandaran utama dalam pasukan.

“Memang cabaran besar sebenarnya apabila berpindah ke Kuala Lumpur tapi yang bagusnya adalah saya akan dapat pengalaman baharu dengan Kevin (Kevin Mendoza).

“Ini juga akan menjadi tanggungjawab saya sebab boleh belajar dan ambil ilmu dengan dia sebab kita tahu bagaimana dia dah melakukan tugas yang cukup baik pada tahun lepas.

“Jadi, memandangkan saya ikat kontrak selama dua tahun, untuk musim pertama ini saya akan belajar banyak benda dahulu dan selepas itu saya sasarkan musim kedua adalah musim saya untuk menjadi lebih baik.

“Saya akan beri komitmen yang terbaik untuk belajar supaya jurulatih (Bojan Hodak) juga akan nampak usaha keras saya”, jelasnya.

Menjelang saingan Piala AFC 2022, bekas pemain Perak FC itu menjangka Kuala Lumpur mampu melakar kejutan di mana dia juga tidak ingin terlepas untuk mencipta sejarah.

Ia akan menjadi penampilan keduanya di pentas Asia selepas kali terakhir beraksi ketika bersama Kedah Darul Aman FC pada musim 2020.

Kuala Lumpur diundi dalam Kumpulan H bertemu kelab Singapura, Tampines Rovers, wakil Indonesia, PSM Makassar dan kelab dari Myanmar sama ada Shan United atau Ayeyarwady United.

“Dengan pemain-pemain yang ada dalam Kuala Lumpur sekarang, saya percaya kita setanding dengan lawan-lawan yang ada dalam Kumpulan H.

“Sebelum ini saya pun pernah bersaing di pentas Asia dengan Kedah dan ini tahun kedua dengan Kuala Lumpur pula, jadi saya anggap ia adalah rezeki yang besar untuk saya.

“Insya-Allah saya akan cuba sedaya upaya untuk cuba rebut tempat dengan penjaga gol lain supaya dapat diturunkan dalam kejohanan itu nanti,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast