Bekas kontraktor didakwa tipu RM163,000 bagi projek penggantian saluran paip gas di Terengganu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki mengaku tidak bersalah atas dakwaan menipu seorang kontraktor sebanyak RM163,000 bagi projek penggantian saluran paip gas di Terengganu di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh, Herisyam Abdul Wahid yang juga seorang bekas kontraktor yang kini menjadi peniaga kedai dobi didakwa memperdayakan Mohd. Hafidz Mohd Ismail selama empat bulan bermula sekitar Mac 2018.

Wang tersebut telah diserahkan mangsa di beberapa lokasi berbeza di Kuala Lumpur antaranya di Restoran Q Bistro, tempat letak kereta di Pavilion dan Restoran Paparich di Putrajaya.

Ketika pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob, tertuduh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Rozina kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkannya melapor diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berdekatan setiap awal bulan hingga kes selesai.

Pegawai Pendakwa SPRM Selangor, Mohd. Aliff Shaharuzaman memohon jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin dan dua syarat tambahan namun pihak pembelaan mohon dikurangkan.

Peguam tertuduh, Mohd. Baharuddin Ahmad Kassim memaklumkan anak guamnya hanya dapat mengumpul RM12,000 daripada rakan dan adik-beradik bagi menjelaskan jaminan.

Dalam pada itu hakim turut memerintahkan tertuduh menyerahkan pasportnya diserahkan sebelum dimaklumkan pasport tersebut telah tamat tempoh dan hilang.

Rozina kemudian memerintahkan tertuduh disenaraihitam daripada keluar negara sehingga kes dilupuskan.

Mengikut kertas pertuduhan, Herisyam didakwa menipu mangsa yang dirinya boleh membantu mendapatkan projek kejuruteraan, perolehan, kontraktor dan pembinaan (EPCC) untuk penggantian saluran paip gas di Terengganu dari Petronas Gas Berhad.

Perbuatan itu menyebabkan mangsa menyerahkan wang tunai RM8,000 di Restoran Q-Bistro di Jalan Dwitasik, Bandar Sri Permaisuri di sini pada bulan Mac 2018.

Tuduhan kedua, Herisyam didakwa menipu mangsa berkaitan projek serupa sehingga mangsa menyerahkan wang tunai RM100,000 di tempat letak kereta tingkat B2, Pavillion pada April 2018.

Bagi tuduhan ketiga melibatkan penyerahan wang tunai RM40,000 bertempat di Restoran Papparich, Ayer@8, Presint 8, Putrajaya pada Mei 2018 manakala tuduhan keempat melibatkan penyerahan wang tunai RM15,000 juga di Q-Bistro Bandar Sri Permaisuri pada Jun 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Turut dimaklumkan pembelaan akan bercadang mengemukakan representasi kepada Pejabat Peguam Negara dalam tempoh terdekat selepas memperoleh dokumen daripada pihak pendakwaan. – MalaysiaGazette