Dua penjawat awam didakwa memalsukan dokumen Arahan Pembayaran bernilai RM9,920 di Mahkamah Seksyen 2, Kuantan hari ini.

KUANTAN – Dua penjawat awam didakwa memalsukan dokumen Arahan Pembayaran bernilai RM9,920 di Mahkamah Seksyen 2, Kuantan hari ini.

Dayang Martini Awang Bujang, 46, bersama Mardziana Che Mohd Amin,36, dituduh melakukan kesalahan tersebut pada 26 Jun 2020 di Jabatan Kesenian Dan Kebudayaan Pahang.

Pertuduhan dibacakan Pegawai Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kamariah Seman di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Mereka didakwa memalsukan dokumen Arahan Pembayaran berkaitan Perkhidmatan Menyediakan Aksesori Set Kepala Pelanduk bagi Kumpulan Kesenian Jabatan atas nama Anas Niaga berjumlah RM9,920 kepada JKKN bagi tujuan menipu.

Atas kesalahan itu, Dayang dan Mardziana disiasat di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tujuh tahun dan dikenakan denda.

Peguambela bagi kedua-dua tertuduh, Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar memohon pengurangan wang ikat jamin memandangkan mereka masih dalam perkhidmatan awam dan membantu keluarga masing-masing.

Dalam rayuan, peguambela memohon pertimbangan mahkamah berikutan kedua-dua tertuduh telah memberi kerjasama dalam siasatan dan hadir sendiri ke mahkamah.

Difahamkan tertuduh pertama masih menanggung empat orang anak kandung dan seorang anak angkat manakala tertuduh kedua mempunyai tiga orang anak sebagai tanggungan.

Mahkamah memutuskan ikat jamin sebanyak RM8,000 seorang bagi kedua-dua tertuduh kes disebut semula pada 22 Februari depan.

Bagaimanapun tertuduh dikehendaki menyerahkan pasport dan perlu hadir ke Pejabat SPRM setiap bulan sehingga kes selesai. – MalaysiaGazette