KUALA LUMPUR – Lebih 47,000 pengguna telah memuat turun aplikasi Prihatin Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sejak ia mula dilancarkan pada 26 November tahun lalu.
Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, kira-kira 31,000 pencarum memuat turun aplikasi mudah alih itu menerusi Playstore (Android) manakala 16,000 lagi melalui AppStore (iOS).
“Aduan memang sentiasa ada (melibatkan) majikan tidak mendaftar, tidak mencarum, tidak melaporkan kemalangan dan ada yang diberhentikan kerja, jadi ada pelbagai situasi yang dilaporkan.
“Jadi dengan adanya aplikasi ini lebih mudah untuk mereka (pencarum) laporkan kepada kita. Selain itu, perkhidmatan Skuad Perkeso Prihatin juga boleh didapati dalam aplikasi sama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama promosi antara portal berita Majoriti dan aplikasi Prihatin Perkeso.
Mohammed Azman berkata, aplikasi berkenaan dianggap sebagai pejabat ke-55 Perkeso secara virtual kerana pencarum tidak lagi perlu hadir secara fizikal.
“Kita mempunyai 54 pejabat di seluruh negara dan aplikasi Prihatin Perkeso ini dianggap sebagai pejabat ke-55 tapi dalam versi virtual. Sesiapa sahaja boleh muat turun aplikasi ini bagi mengetahui jumlah caruman mereka atau sama ada sudah didaftarkan atau tidak termasuk membuat aduan,” ujarnya.
Aplikasi itu memberi kemudahan dan pengalaman digitalisasi kepada pencarum untuk mendapatkan maklumat terkini di hujung jari yang meliputi caruman bagi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 serta Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017.
Selain itu, ia juga boleh digunakan bagi membuat permohonan Sistem Insurans Pekerja Prihatin 2.0 atau Elaun Mencari Pekerjaan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH). – MalaysiaGazette