S. Kumaahran. Foto Facebook PJ City.

KUALA LUMPUR – Penyerang baharu PJ City FC, S. Kumaahran tiada masalah untuk bergandingan dengan Darren Lok bagi memperkuatkan lagi bahagian serangan pada musim ini.

Memandangkan Kumaahran dan Darren pernah bekerjasama ketika bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) pada musim 2018, dia percaya keserasian antara mereka masih lagi ada untuk sama-sama mengukuhkan lagi serangan PJ City di pentas Liga Super.

Seperti mana yang ditekankan oleh pengendali, P. Maniam, kehadiran Kumaahran pada musim ini sememangnya untuk membantu Darren yang sebelum ini sering kali dihimpit kecederaan selain penyerang lain seperti Mahali Jasuli, Khyril Muhymeen dan Sunil Chandran.

“Saya pernah bermain dengan Darren ketika dengan JDT II, jadi persefahaman dan keserasian dalam padang itu saya percaya masih ada.

“Yang penting sekali saya kena dapatkan tempat dahulu untuk bermain dan kalau bergandingan dengan Darren, saya akan menggunakan peluang sebaik mungkin untuk pasukan terutamanya untuk capai sasaran kedudukan lima terbaik.

“Musim lepas mungkin sasaran mereka tidak tercapai apabila berada di tangga ketujuh, jadi tahun ini dengan kehadiran beberapa lagi pemain baharu, kami semua akan cuba membantu pasukan sebaik mungkin untuk raih sasaran itu”, jelasnya.

Kumaahran yang berjaya menjaringkan enam gol ketika bersama Melaka United FC pada musim lalu mensasarkan untuk cuba mendapatkan sekurang-kurangnya 10 gol bersama PJ City.

“Saya memang ada sasaran tersendiri, cuma yang penting sekali adalah untuk bantu pasukan terlebih dahulu mendapatkan tiga mata penuh, tidak kira siapa pun yang akan menjaringkan gol.

“Cuma kalau mendapat peluang, sudah tentu saya akan menggunakannya sebaik mungkin untuk mendapatkan gol peribadi, macam tahun lepas saya meraih enam gol, mungkin tahun ini mampu jaringkan sekurang-kurangnya 10 gol.

“Pasal kecederaan, penghujung musim 2021 saya ada cedera sikit, tetapi tidaklah terlalu serius di mana saya sudah biasa dengan keadaan seperti itu dan biasanya akan cepat sembuh”, tambahnya.

Kumaahran ditemui pada Majlis Memperkenalkan Pemain Baharu PJ City FC yanb telah diadakan pada Isnin lalu di mana enam lagi pemain baharu akan memperkuatkan skuad kendalian P. Maniam iaitu penjaga gol, Azfa Arif Mohd Sukri, R. Aroon Kumar, R. Barathkumar, Nasir Basharudin, Marcus Mah dan Shivan Pillay Asokan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast