Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias bergambar bersama penunggang-penunggang motosikal berkuasa tinggi pada Program Konvoi ÔGolden RideÕ KL Ð Arau 2022 sempena sambutan Jubli Emas Bandar Raya Kuala Lumpur di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 21 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias hari ini mengetuai lebih 50 peserta konvoi motosikal berkuasa tinggi ke Arau, Perlis.

Konvoi Golden Ride Kuala Lumpur – Arau 2022 itu sempena ulang tahun ke-50 pengisytiharan Kuala Lumpur sebagai bandar raya pertama di Malaysia.

Ia merupakan pra sambutan Jubli Emas Bandaraya Kuala Lumpur yang bermula dari Dataran Merdeka di sini hingga ke Arau melibatkan perjalanan sejauh 464 kilometer dan berakhir Ahad ini.

Jalaluddin ketika bercakap kepada pemberita berkata, konvoi itu membawa signifikan kepada sambutan Jubli Emas Bandaraya Kuala Lumpur 2022 yang turut disambut pada 1 Februari ini.

Sepanjang konvoi itu, beliau akan menyertai beberapa program tanggungjawab sosial korporat (CSR) membantu masyarakat terutama golongan asnaf dan B40.

Program Golden Ride Kuala Lumpur – Arau 2202 itu dianjurkan Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Yayasan Wilayah Persekutuan.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias melakukan persiapan sebelum berlepas pada Program Konvoi ÔGolden RideÕ KL Ð Arau 2022 sempena sambutan Jubli Emas Bandar Raya Kuala Lumpur di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 21 JANUARI 2022.

Turut serta dalam konvoi tersebut, Pengerusi SW Corp, Datuk Rizalman Mokhtar yang juga Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Datuk Zaizalnizam Zainun.

Konvoi bermotosikal itu dilepaskan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Menurut Jalaluddin lagi, untuk penganjuran masa hadapan, beliau menyasarkan konvoi seumpama itu boleh menjadikan beberapa kawasan bertaraf bandar raya bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Wilayah Persekutuan.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berucap pada Program Konvoi ÔGolden RideÕ KL Ð Arau 2022 sempena sambutan Jubli Emas Bandar Raya Kuala Lumpur di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 21 JANUARI 2022.

“Saya berharap program konvoi seumpama ini boleh diperluaskan lagi ke negeri di selatan tanah air dan Pantai Timur,” katanya.

Dalam pada itu, Mahadi pula berkata, Golden Ride Kuala Lumpur – Arau 2022 merupakan program pembukaan kalendar Sambutan Jubli Emas Bandaraya Kuala Lumpur 2022 yang akan berlangsung mulai Febuari hingga Jun ini.

“Dengan adanya program seperti ini, saya percaya ia akan membangkitkan semangat kita untuk menyambut ulang tahun Kuala Lumpur sebagai sebuah bandaraya, sekali gus mempromosikannya kepada seluruh rakyat dengan lebih meluas,” katanya. – MalaysiaGazette