ASP Suhaimi Mohamad

KUANTAN – “Berkayuh basikal bukan bercinta, perlu berkayuh secara beratur tersusun, berasingan dan ikut peraturan.

Demikian ujar Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kuantan (KBSPTD), Asisten Superintendan Suhaimi Mohamad.

Beliau menasihati pengayuh basikal supaya mematuhi peraturan seperti digariskan melalui Kaedah Lalulintas 1959, bukan menjadikan kayuhan basikal sekadar trend sehingga membahayakan diri dan pengguna jalan raya lain.

“Perlu diingatkan penunggang basikal dan motosikal mahupun pemandu kenderaan lain mempunyai liabiliti pengguna jalan raya yang sama dan tertakluk di bawah undang-undang.

“Tidak timbul isu guna jalan kampung atau jalan raya, apa sahaja kenderaan menggunakan jalan yang telah diwartakan, maka pengguna jalan raya tertakluk kepada Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Paling asas perlu pastikan tayar basikal keadaan baik, brek berfungsi, lampu depan dan lampu merah bahagian belakang menyala apabila mengayuh pada waktu malam,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette semasa program bual bicara anjuran Perbadanan Perpustakaan Pahang.

Jelas Suhaimi, pengayuh basikal dan penunggang motosikal tiada beza dari segi perutukkan undang-undang, melainkan hukumannya lebih ringan berbanding pemandu motokar yang lain.

ASP Suhaimi Mohamad ketika memberi taklimat keselamatan sebelum kayuhan bermula

”Misalnya, kalau penunggang basikal sekalipun mengambil alkohol melebihi bacaan 50 pada ‘Evidental Breath Analyzer‘ (EBA-II) maka boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 45(A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan boleh dituduh di bawah Seksyen 54 APJ.

“Dari segi hukuman agak berbeza lebih ringan iaitu denda tidak kurang RM1,000 dan RM 6,000 dan boleh dipenjarakan tidak melebih 12 bulan jika disabit kesalahan.

“Apabila mendedahkan anak kepada perkara berbahaya di bawah Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001, jika berlaku kemalangan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 20,000 dan penjara tidak kurang lima tahun atau kedua-duanya sekali,” tambahnya.

Walau bagaimanapun katanya, pihak polis boleh menggunakan budi bicara seperti termaktub Seksyen 20 Akta Polis 1967 dengan mempraktiskan kaedah advokasi serta menasihati daripada terus mengenakan saman terhadap pesalah.

Tambah Suhaimi, selain mematuhi peraturan, para penggiat sukan berbasikal perlu menitik beratkan keselamatan diri sebelum membuat aktiviti tersebut dan dinasihatkan supaya tidak memodifikasi kenderaan sehingga boleh mengundang kecelakaan.

Mengulas lanjut katanya, ibu bapa dan penjaga perlu dipertanggungjawabkan sepenuhnya apabila membenarkan anak di bawah umur 18 tahun menaiki basikal di jalan raya.

“Apabila mendedahkan anak- kepada perkara berbahaya di bawah Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001, jika berlaku kemalangan boleh dikenakan denda RM 20,000 dan penjara tidak kurang lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Sebarang tambahan aksesori terhadap sebarang pengubahsuaian kenderaan seperti ‘carrier’ tidak dibolehkan, melainkan perlu mendapatkan kebenaran pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Untuk rekod, sebanyak 42 kes kemalangan dicatatkan melibatkan penunggang basikal di daerah ini sejak 2019 sehingga kini.

Pada tahun 2019, terdapat dua kes maut dan satu kes pada tahun ini melibatkan  kemalangan pengguna basikal ke tempat kerja. – MalaysiaGazette