GEORGE TOWN – Seorang lelaki ditemui mati lemas selepas terjatuh ke dalam laut di Terminal Swettenham Pier Cruise di sini, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lebuh Pantai diketuai Mohd Rizal Abu Bakar bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima maklumat pada jam 3.13 petang.

“Ketika di lokasi, anggota dimaklumkan oleh orang awam bahawa lelaki berusia 50-an dipercayai terjatuh ke dalam laut.

“Lelaki itu cuba diselamatkan orang awam tetapi gagal berikutan tindakannya yang meronta-ronta sebelum tenggelam,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurut jurucakap itu, pasukan penyelamat melakukan pencarian berhampiran jeti berkenaan sebelum orang awam menemui mangsa terapung di bawah jeti pada jam 4.03 petang.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette