Keadaan kedai perabot yang hangus dalam kebakaran di Kampung Cheras Baru awal pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditemui rentung dalam kebakaran melibatkan sebuah kedai membuat perabot di Jalan 1, Kampung Cheras Baru awal pagi tadi.

Menurut Komander Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Khairul Azmi Jaafar, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.42 pagi dan mengerahkan seramai 37 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheras, BBP Sungai Besi, BBP Hang Tuah serta Balai Bantuan BBP Bandar Tun Razak.

Katanya, sebanyak lima buah jentera, empat Unit Bermotor Bomba (RIM), sebuah water tanker dan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) turut dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di tempat kejadian pada pukul 2.50 pagi, anggota mendapati kebakaran melibatkan sebuah kedai membuat perabot berkeluasan kira-kira 752 meter persegi telah terbakar 100 peratus.

“Semasa kerja-kerja pemadaman dilakukan, anggota mengalami kesukaran kerana arus elektrik yang mengalir dan fire load yang banyak namun kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada pukul 3.30 pagi daripada merebak ke bangunan bersebelahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Seorang lelaki ditemui rentung dalam kebakaran di sebuah kedai perabot di Kampung Cheras Baru awal pagi tadi.

Tambah Mohd Khairul, dua mangsa lelaki berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dengan selamat dari lokasi kejadian.

Manakala seorang lagi lelaki dipercayai pekerja kedai tersebut ditemui maut oleh Unit K-9 dan telah disahkan oleh paramedik Kementerian Kesihatan.

“Bagaimanapun punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan,” ujarnya. – MalaysiaGazette