KUALA LUMPUR – Permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan reman empat suspek lelaki  didakwa mengemukakan permohonan tuntutan palsu kepada sebuah agensi kerajaan bernilai RM13.7 juta dibenarkan oleh Mahkamah Majistret Shah Alam dekat sini hari ini.

Antara tuntutan palsu yang didakwa telah dilakukan empat suspek itu termasuklah  permohonan dan laporan berkala dengan butiran palsu.

Majistret Nur Faizah Abdul Sani telah membenarkan perintah reman selama empat hari bermula hari ini bagi siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM.

Kata sumber, kesemua suspek ditahan SPRM Selangor selepas hadir pemeriksaan secara berperingkat antara pukul 6.45 petang hingga 11 malam tadi.

“Ini berhubung aduan pihak yang telah kemukakan permohonan laporan berkala program yang mengandungi butir matan palsu bagi memperoleh geran daripada sebuah agensi kerajaan sedangkan program tersebut tidak dilaksanakan sepenuhnya.

“Perbuatan ini telah dilakukan sekitar tahun 2019 sehingga 2021,” dedahnya. -MalaysiaGazette